Input your search keywords and press Enter.

AS, Russia Bertelagah Kerana Venezuela

M Update, 06/05/2019 – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo menggesa Russia untuk keluar dari Venezuela, ketika rakan sejawatnya dari Russia, Sergei Lavrov turut mendesak Washington untuk ‘melupakan saja rancangan yang tidak bertanggungjawab’ di negara yang sedang bergolak itu.

Pompeo bakal bertemu Lavrov di Finland minggu ini sekali gus menyangkal nada persefahaman yang didakwa dicapai Presiden AS, Donald Trump dalam perbualannya dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, Jumaat lalu.

Perbincangan di peringkat tertinggi itu berlaku susulan kegagalan kebangkitan yang disokong AS Selasa lalu, bertujuan mengusir Presiden Venezuela Nicolas Maduro.

Pompeo menyalahkan Russia di atas kegagalan kebangkitan itu.

Ketua Majlis Konstituen, Diosdado Cabello, berkata badan pro-Maduro itu akan melucutkan imuniti legislatif anggota parlimen pembangkang yang menyokong kebangkitan itu.

Terdahulu, Pompeo berkata Maduro bersedia untuk melarikan diri ke Havana tetapi Russia menghantar penasihat tenteranya ke Caracas untuk membatalkan niatnya itu.

“Orang Russia mesti keluar minggu ini,” kata Pompeo kepada televisyen ABC.

“Saya akan bertemu dengan Menteri Luar Lavrov beberapa hari lagi. Kita mahu Russia keluar, kita mahu Iran keluar, kita mahu Cuba keluar. Itu amat jelas.”

Trump bagaimanapun menempelak pendirian Pompeo Jumaat lalu, memberitahu media bahawa Putin memberi jaminan kepadanya bahawa “beliau tidak ingin terbabit dan hanya mahu melihat sesuatu yang positif berlaku ke atas negara itu.” – AFP

Leave a Reply