Input your search keywords and press Enter.

Bubur Lambuk Kambing Terbaik

M Update, 7/5/2019 – Bulan Ramadan dan bubur lambuk memang tak dapat dipisahkan. Dua perkara itu sinonim antara satu sama lain.

Terdapat banyak tempat yang popular dengan bubur lambuknya namun berbeza dengan di Ipoh, bubur lambuk kambing menjadi tarikan ramai.

Walaupun usia pengusahanya sudah 74 tahun namun kudratnya masih kuat mengacau tujuh periuk bubur lambuk kambing di Masjid India Muslim, Jalan Seenivasagam, Ipoh.

Itulah rutin harian Mustafha Kamal Varisai Mohamad yang akan memasak hidangan wajib itu setiap kali Ramadan sejak 15 tahun lalu.

Mustafha Kamal bersama pembantu tukang masak, Jamal Muhamad Shaik Daud, 47, mula memasak pada 11 pagi selepas semua bahan masakan yang siap ditempah dihantar ke masjid itu setiap hari.

Kos untuk membuat tujuh periuk bubur lambuk RM600 sehari dengan 80 kilogram (kg) beras digunakan setiap hari.

Bagi setiap periuk, akan dimasukkan tiga kg daging kambing serta bahan lain seperti daun pudina, ketumbar, daun pandan dan bahan lain.

Bubur lambuk itu akan diedarkan kepada 1,500 orang bermula 4.45 petang setiap hari. Lebih daripada 75 peratus yang mengambil edaran bubur lambuk adalah orang Melayu dan mereka suka bubur lambuk kambing ini.

Mustafha Kamal berkata, setiap kali Ramadan, beliau dan pembantunya saja memasak bubur lambuk itu di dapur yang terletak di bahagian belakang masjid.

Beliau akan terus menyumbangkan bakti memasak bubur lambuk di masjid berkenaan selagi khidmatnya diperlukan.

Alhamdulillah pada usia begini beliau masih lagi kuat untuk memasak malah akan terus memasak untuk masjid itu selagi khidmat diperlukan.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply