Input your search keywords and press Enter.

Enam Menteri Iraq Bakal Dipecat

M Update, 08/05/2019 – Enam menteri kerajaan Iraq termasuk Menteri Minyak, Thamir Ghadhban dan Menteri Elektrik, Luay Al-Khatteeb, bakal disingkirkan dalam satu rombakan kabinet besar-besaran di sini.

Pergolakan dalam kerajaan Perdana Menteri Adel Abdul-Mahdi itu adalah sebahagian daripada kesan pertikaian di antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi mendapatkan kuasa dan pengaruh di Iraq.

“Iraq tidak ubah seperti papan catur bagi Iran dan AS. Siasatan dan penyingkiran yang bakal dijalankan ke atas menteri akan datang adalah sebahagian daripada pertikaian ini,” kata seorang perunding terkemuka kepada Arab News.

Kerajaan di Baghdad dibentuk tahun lalu, selepas berbulan-bulan wujud pertikaian.

Dalam pada berdepan reformasi, kesepakatan akhirnya dicapai antara blok parlimen terbesar yang diketuai oleh ulama Syiah anti-Iran, Muqtada Al-Sadr dan Blok Iran terbesar pro-Iran, Al-Binna’a yang diketuai oleh Hadi Al-Amiri, sebagai ketua pertubuhan Badr.

Bagaimanapun, kedua-dua blok itu masih tidak dapat menentukan calon untuk dua jawatan penting termasuk menteri pertahanan dan menteri dalam negeri. Ia dijangka akan diisi mengikut perjanjian terkini yang dicapai.

Ketegangan antara Washington dan Tehran semakin meruncing menjelang ulang tahun penarikan diri Presiden Donald Trump daripada perjanjian nuklear 2015 sekali gus penguatkuasaan semula sekatan ekonomi yang melumpuhkan.

Iraq berada di tengah-tengah ketegangan yang semakin meruncing itu apabila AS mengumumkan penghantaran pasukan kapal pengangkut pesawat pejuang ke Teluk sebagai tindak balas kepada ancaman berterusan Iran.

Pegawai AS tidak menjelaskan lokasi sebenar ancaman, namun cukup khuatir dengan kegiatan militia yang disokong Iran di Iraq. – Agensi

Leave a Reply