Input your search keywords and press Enter.

Pembangkang Singapura bantah rang berita palsu

M Update, 08/05/2019 –  Parti pembangkang tunggal dalam Parlimen Singapura membantah rang berita palsu kontroversi yang dikritik aktivis hak, wartawan dan firma teknologi ketika perbahasan berhubung perundangan itu masuk hari kedua hari ini.

Langkah itu tidak akan menjejaskan undang-undang yang dilihat sebagai memberikan kerajaan lebih kuasa dan menyekat kebebasan bersuara, walaupun Parlimen dijangka mempertimbangkan pindaan yang menyempitkan sebelum undian akhir dijangka dilakukan hari ini.

“Parti Pekerja menentang rang ini. Kami tidak bersetuju bahawa eksekutif harus menjadi pembuat keputusan awal mengenai perkara berhubung kenyataan palsu,” kata pemimpin pembangkang, Pritam Singh kepada Parlimen semalam.

Parti itu cuma ada enam daripada 89 kerusi di Parlimen, dengan yang lainnya dimenangi Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang mentadbir republik itu sejak Singapura memperoleh kemerdekaan dari Britain lebih 50 tahun lalu.

Singapura berada pada kedudukan 151 daripada 180 negara yang disenaraikan dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia Reporters Without Borders, pertubuhan bukan kerajaan yang menggalakkan kebebasan maklumat, di bawah Russia dan Myanmar.

Deraf undang-undang itu bertujuan memerangi berita palsu dengan mewajibkan platform media atas talian menunjukkan kandungan diperbetulkan atau membuangnya, dengan penalti penjara hingga 10 tahun dan denda sehingga S$1 juta (RM3.04 juta).

Menteri Undang-Undang, K Shanmugam, memberitahu Parlimen perundangan itu tidak diperlu ditakuti.

“Kebebasan berucap tidak terjejas dengan rang ini. Kita bercakap mengenai berita palsu, sindiran, akaun palsu dan lain-lain,” katanya. – Reuters

Leave a Reply