Input your search keywords and press Enter.

Pemuda Kantoi Tak Puasa

M Update, 8/5/2019 – Lelaki berusia 30 tahun memberi alasan tidak bangun sahur menyebabkan dia terpaksa makan di sebuah kedai makan bukan Islam berhampiran Stadium Darul Aman, Alor Setar sebelum dicekup penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) hari ini.

Dalam operasi 11 pagi itu, lelaki terbabit baru selesai menikmati sepinggan nasi goreng dan segelas teh ais dan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa JAIK. Bagaimanapun lelaki itu akhirnya mengaku yang dia tidak berpuasa dan singgah di situ untuk makan kerana tidak bangun sahur menyebabkan dia disaman kerana melakukan kesalahan dan tidak menghormati bulan puasa.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Kedah, Syeikh Azhari Mohamad berkata, lelaki itu disaman mengikut Seksyen 14 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana makan di tempat awam ketika bulan puasa. Lelaki yang bekerja di sebuah kedai menjual kereta di bandar raya itu dan masih bujang diberi surat saman kerana kesalahan yang dilakukan itu.

“Dalam operasi hari ini, 25 anggota penguat kuasa termasuk dari Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP), Padang Terap dan Bahagian Penguatkuasaan Kota Setar melakukan operasi di kawasan yang tertumpu disyaki menjadi tumpuan kaki ponteng puasa.

“Hari ini kita mengeluarkan tiga saman kepada kaki ponteng puasa di lokasi yang diserbu kerana makan dan merokok di khalayak ramai di bulan puasa ini,” katanya ketika ditemui sejurus operasi selesai hari ini.

Syeikh Azhari berkata, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-dua sekali. – HM Online

Leave a Reply