Input your search keywords and press Enter.

Asal Usul Dan Sejarah Nama Teluk Batik

Teluk Batik pada asalnya dikenali sebagai Teluk Batak pada zaman awal kewujudannya. Walau bagaimanapun pada 26 April 1974, nama Teluk Batak telah ditukarkan kepada Teluk Batik. Pantai yang terletak lebih kurang 6.5 kilometer daripada Bandar Lumut adalah sebuah destinasi pelancongan dan perkelahan yang ideal untuk dikunjungi kerana memiliki kemudahan-kemudahan istimewa yang diperlukan sebagai tempat pelancongan menarik.

Pantainya yang panjang dan berlatar belakangkan hutan hujan tropika menarik hati sesiapa sahaja yang memandang. Pelbagai kemudahan disediakan di sini seperti chalet, gerai makan, tandas, tempat persalinan, tempat letak kereta dan taman permainan kanak-kanak. Kawasan pantai ini dikelilingi oleh keindahan hutan hujan tropika yang merimbun di bukit-bukit yang terdapat di sekelilingnya. Anggaran keluasan Teluk Batik ialah lebih kurang 60 ekar persegi manakala panjang pantainya adalah 1 km.

Teluk batik dikatakan bermula dengan kedatangan kaum Batak dari Kepulauan Sumatera di Indonesia. Ceritanya bermula apabila pada zaman dahulu lanun-lanun dan perompak menjadikan perairan Selat Melaka tempat mereka merompak dan merampas semua hasil dagangan dan kepunyaan pemilik orang-orang yang menggunakan laluan Selat Melaka tersebut. Ini tidak terkecualilah kaum Batak ini. Mereka menjadikan lokasi Teluk Batik sebagai tempat perlindungan daripada ancaman lanun dan perompak tersebut.

Dari situ bermulalah penempatan kaum Batak dan tempat tersebut telah dipanggil Teluk Batak. Seperti yang diketahui, panggilan Teluk Batak kekal sehinggal 26 April 1974 dan selepas itu oleh kerana panggilan Teluk Batak tidak sedap dan manis untuk didengar maka ianya telah ditukar dengan panggilan Teluk Batik. Panggilan nama Teluk Batik kekal sehingga sekarang.

sumber:orangperak


Leave a Reply