Input your search keywords and press Enter.

Lelaki Jepun dihukum penjara cuba seludup serangga

M Update, 10/05/2019 – Seorang lelaki Jepun dijatuhi hukuman penjara dua tahun di Ecuador selepas cuba menyeludup beberapa jenis serangga keluar dari negara itu, kata pihak berkuasa semalam.

Defendan ditahan di lapangan terbang antarabangsa di Quito Mac lalu bersama 248 labah-labah, lipas, tebuan, lebah dan kupu-kupu di dalam beg pakaiannya, kata kementerian alam sekitar dalam satu kenyataan.

Penyeludup yang hanya dikenali sebagai Hirokazu S itu juga didenda AS$4,000 (RM16,645) dan diarah membuat permohonan maaf terbuka di sebuah akhbar tempatan, kata kementerian itu.

Negara di Amerika Selatan dengan kira-kira 17 juta penduduk itu adalah antara negara yang paling kaya dengan kepelbagaian hidupan di dunia ini.

Pihak berkuasa mengharamkan pemburuan, penangkapan dan penjualan semua haiwan liar, namun perdagangan haram masih berlarutan di seluruh rantau Amazon.

Difahamkan, defendan cuba membawa serangga terbabit, lima darinya hanya didapati di Ecuador dan beberapa lagi serangga yang masih hidup, ke pulau Hokkaido di utara Jepun. – AFP

Leave a Reply