Input your search keywords and press Enter.

Semua Guru Digalakkan Ambil MUET

M Update, 10/5/2019 – Guru bukan opsyen bahasa Inggeris berpeluang mengajar bahasa itu sekiranya mencapai tahap penguasaan minimum C1 dalam kelayakan “Common European Framework of Reference for Languages” (CEFR) melalui peperiksaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, kementeriannya menggalakkan mana-mana guru bukan opsyen bahasa Inggeris mengambil peperiksaan MUET bersama-sama guru bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka menukar opsyen mengajar sekiranya berkelayakan. Menurutnya, kerajaan berhasrat memastikan tahap penguasaan bahasa Inggeris di antara guru bahasa Inggeris cukup baik dan sekiranya ada dalam kalangan guru bukan opsyen bahasa Inggeris yang berkelayakan, ia memberi nilai tambah kepada sekolah.

Kalau kita menggunakan kelayakan CEFR, guru-guru bahasa Inggeris yang mengajar di sekolah rendah dan menengah diwajibkan mencapai tahap penguasaan minimum C1, manakala bagi pensyarah institusi pengajian tinggi perlu mencapai C2. Inisiatif ini turut membolehkan kementerian mengenal pasti guru bahasa Inggeris yang benar-benar berkelayakan dan memiliki tahap penguasaan bahasa itu amat baik walaupun mereka sebelum ini mengajar opsyen,” katanya kepada media dalam lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Darul Ridwan, di sini hari ini.

Nie Ching berkata, setakat ini, kementerian hanya menggalakkan guru-guru bahasa Inggeris untuk mengambil peperiksaan MUET dan belum mewajibkannya. Menurutnya, mana-mana guru bahasa Inggeris didapati mencapai tahap penguasaan bahasa Inggeris kurang memuaskan, kerajaan bersedia memberikan pelbagai kursus dan latihan secara praktikal atau atas talian bagi meningkatkan tahap penguasaan mereka.

Inisiatif ini juga merupakan hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri dalam memastikan generasi pelajar masa hadapan mempunyai tahap penguasaan bahasa Inggeris amat memuaskan,” katanya. – SN Online

Leave a Reply