Input your search keywords and press Enter.

Waspada Pinjaman Kecemasan Musim Perayaan

M Update, 13/5/2019 – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) menasihatkan penjawat awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berwaspada dengan tawaran pinjaman mudah menjelang musim perayaan oleh ejen syarikat pemberi pinjaman.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata terdapat syarikat pemberi pinjaman mendakwa mereka adalah ejen ANGKASA dan boleh membantu penjawat awam atau kakitangan GLC memperoleh pinjaman segera bagi meringankan bebanan mereka melakukan persiapan Aidilfitri. Katanya, taktik digunakan wakil syarikat pemberi pinjaman wang ini ialah dengan menampalkan iklan ditawarkan dengan mendakwa mereka dari koperasi tertentu dan boleh menguruskan pinjaman mudah serta pembayaran balik melalui potongan gaji.

Skim pinjaman dan pembayaran melalui potongan gaji ini hanya boleh dilakukan kepada kakitangan kerajaan atau GLC saja, jadi taktik mereka (ejen syarikat pemberi pinjaman wang) ialah dengan mendakwa wakil koperasi yang mempunyai kaitan dengan ANGKASA dan boleh menguruskan permohonan pinjaman dibuat dengan mudah. Taktik ini memang sering dilaporkan dan digunakan setiap kali tiba musim perayaan, macam sekarang sudah hampir dengan sambutan Aidilfitri, kumpulan ini akan muncul kerana mereka tahu ramai akan memerlukan pinjaman kecemasan bagi membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Kita memandang serius perkara ini kerana ejen terbabit menggunakan nama ANGKASA dan pihak kami mengingatkan orang ramai, terutamanya penjawat awam supaya tidak terpedaya dengan iklan seumpama itu,” katanya.

Kita juga meminta orang ramai yang pernah ditawarkan pinjaman oleh ejen yang mendakwa mewakili ANGKASA membuat laporan polis bagi memudahkan tindakan diambil terhadap syarikat berkenaan,” katanya.

Abdul Fattah berkata, penjawat awam atau GLC perlu menyemak terlebih dahulu status syarikat atau ejen syarikat pinjaman wang terbabit, sama ada mewakili koperasi seperti didakwa mereka atau tidak bagi mengelak daripada menjadi mangsa. Katanya, berdasarkan rekod ANGKASA, terdapat kira-kira 800 koperasi dibenarkan menawarkan pinjaman wang kepada ahli, termasuk penjawat awam dan kakitangan GLC dan daripada jumlah itu, hanya 400 koperasi yang aktif menawarkan pinjaman pada kadar faedah munasabah. – BH Online

Leave a Reply