Input your search keywords and press Enter.

69 pelarian Rohingya cuba diseludup ke Malaysia


Pelarian Rohingya menaiki bot menuju ke perairan Laut Andaman, berhampiran perairan Thailand. Foto hiasan

M Update, 14/05/2019 –  Polis Bangladesh berjaya menghalang puluhan pelarian Islam etnik Rohingya, sebahagian besarnya wanita daripada diseludup masuk ke Malaysia menggunakan bot.

“Penyeludup memilih sekurang-kurangnya 69 etnik Rohingya dari kem pelarian di daerah Cox’s Bazar, dengan menjanjikan mereka peluang pekerjaan di Malaysia, yang kini menjadi lokasi tumpuan etnik berkenaan untuk tinggal,” kata polis.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, sejumlah besar etnik Islam Rohingya dilaporkan menaiki bot menuju ke Malaysia.

Bagaimanapun, pihak berkuasa bimbang ia boleh mencetuskan satu gelombang baharu penyeludupan manusia menerusi laut, selepas usaha membanterasnya dilaksanakan pada 2015.

Dianggarkan seramai 25,000 etnik Rohingya sudah menyeberangi Laut Andaman menuju ke Thailand, Malaysia dan Indonesia pada 2015, namun kebanyakannya mati akibat lemas kerana menaiki bot melebihi muatan.

“Selepas mendapat maklumat daripada sumber, pasukan kami mengadakan operasi malam semalam dan berjaya menyelamatkan mereka.

“Kesemua mereka, termasuk 43 wanita dan 11 kanak-kanak akan dihantar semula ke kem pelarian,” kata pegawai polis Abul Khair kepada Reuters.

Bagaimanapun, polis berkata, tiada penyeludup yang ditahan.

Menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 700,000 pelarian Rohingya dilaporkan menyeberangi sempadan menuju ke Bangladesh pada 2017, bagi menyelamatkan diri dari kekejaman tentera Myanmar di Rakhine.

Myanmar yang mempunyai penduduk majoriti beragama Buddha menganggap etnik Rohingya sebagai pendatang haram dari India. – Reuters

Leave a Reply