Input your search keywords and press Enter.

11 anggota tentera Niger yang hilang ditemui maut

M Update, 16/05/2019 – Pihak berkuasa menemui mayat 11 anggota tentera Niger selepas satu serbuan oleh sekumpulan penyerang bersenjata yang turut membunuh 17 rakan mereka di sempadan Mali.

“Kami mengesahkan bahawa 11 mayat anggota tentera yang dilaporkan hilang sebelum ini sudah ditemui, menjadikan jumlah kematian keseluruhan adalah 28,” kata sumber lewat malam tadi.

Sumber memberitahu, pasukan peronda tentera itu diserang hendap Selasa lalu berhampiran perkampungan Tongo Tongo di barat rantau Tillaberi.

Sebuah kenderaan turut diletupkan dalam serangan berkenaan.

Insiden terbabit dianggap sebagai satu serangan pengganas.

Dalam kejadian itu, beberapa anggota turut mengalami kecederaan dan dibawa ke ibu negara bagi menjalani rawatan susulan.

Menurut laman web berita Actuniger, sekumpulan 52 anggota tentera bertembung dengan sekumpulan penyerang lengkap bersenjata di Baley Beri berhampiran Tongo Tongo sebelum pertempuran sengit selama lebih dua jam tercetus.

Seramai 22 anggota berjaya menyelamatkan diri menggunakan tiga kenderaan menuju ke pangkalan mereka di Ouallam manakala selebihnya tidak dapat dikesan.

Insiden terbabit berlaku di lokasi sama sembilan tentera Niger dan Amerika Syarikat terbunuh diserang militan Islam pada Oktober 2017.

Niger adalah antara negara paling miskin di rantau Sahel yang diselubungi pemberontakan militan Islam. – AFP

Leave a Reply