Input your search keywords and press Enter.

Tiada kompromi ubahsuai rumah di Klang

M-Update,16/5/2019, MAJLIS Perbandaran Klang (MPK) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik rumah yang melakukan pengubahsuaian dan binaan tanpa kebenaran di sekitar daerah ini. Ia termasuk individu yang didapati membinanya untuk menjalankan perniagaan.

Yang Dipertua MPK Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, tindakan mengubahsuai rumah tanpa kelulusan pihaknya mendatangkan ancaman sekiranya binaan itu tidak menepati ciri keselamatan ditetapkan sekali gus menimbulkan risiko kepada penduduk lain. “Tindakan mereka yang menjadikan kediaman sebagai premis perniagaan juga satu kesalahan kerana berniaga di luar kawasan ditetapkan.

“Ia akan menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat terutama isu kebersihan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.Mohamad Yasid berkata, tindakan tegas dilaksanakan pihaknya apabila seorang penduduk di Taman Sentosa dikenakan denda RM15,000 oleh Mahkamah Majistret Klang atas beberapa kesalahan berkaitan pengubahsuaian rumah, baru-baru ini.

“Pemilik rumah itu membina tambahan teres terbuka dan anjung kereta tanpa kebenaran bertulis serta menggunakan kediaman bagi menjalankan perniagaan tanpa kelulusan MPK. “Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 70 (11), Seksyen 70 (12) dan Seksyen 70 (13) (d) Akta Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya. Justeru, beliau berkata, tindakan penguatkuasaan berterusan akan dijalankan pihaknya bagi memastikan tiada pihak mengingkari arahan yang ditetapkan.

–HMetro

Leave a Reply