Input your search keywords and press Enter.

Mangsa Selamatkan Koperal Daripada Ditembak Perompak

M Update, 17/5/2019 – Seorang anggota polis berpangkat Koperal terselamat selepas seorang mangsa sempat menghalang cubaan perompak untuk menembaknya, dalam kejadian pada Khamis.

Mangsa yang juga tuan rumah kejadian rompakan di Taman Jelita di sini, bagaimanapun hanya cedera ringan pada jarinya, manakala polis yang cuba ditembak perompak terbabit, cedera ditembak di tangan. Berlaku insiden saling berbalas tembak antara kedua-dua pihak sebelum seorang daripada suspek berjaya ditembak di kaki, manakala seorang rakannya berjaya dicekup. Seorang lagi perompak bagaimanapun berjaya meloloskan diri.

Menurut saksi, kejadian berlaku sekitar jam 1.30 petang ketika mangsa sekeluarga, termasuk pembantu rumah, pulang daripada mengambil anak mereka berusia empat tahun dari tadika. Sejurus parkir dan pintu pagar ditutup, sebuah kenderaan mewah jenis BMW melanggar pintu pagar kediaman mereka sebelum tiga perompak bertopeng dan bersenjata api keluar, mengacu senjata,” katanya.

Menurutnya, perompak memaksa isteri mangsa pergi ke tingkat atas rumah tersebut bagi tujuan mengambil barangan berharga, manakala anak dan pembantu rumahnya diikat dan dilekat mulut dengan pita pelekat di dalam tandas. Mangsa pula berada di ruang tamu bersama-sama seorang lagi perompak. Setelah kira-kira 30 minit insiden berlaku, pihak polis muncul susulan aduan awam yang diterima berhubung aktiviti yang mencurigakan.

Ketika perompak terbabit sedang menenang senjata untuk menembak anggota terbabit, mangsa telah bertindak melakukan halangan, menyebabkan tembakan itu tersasar. Ketua Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai ketika dihubungi mengesahkan kejadian. Menurutnya, anggota yang ditembak ialah Koperal William Bell Jol, 55 tahun. Turut ditembak, Konstabel Mohamad Roni Abdul Manap, 27 tahun.

Ketika kejadian, William yang memandu kenderaan peronda menghampiri BMW tersebut sebelum salah seorang suspek melepaskan tembakan yang mengenainya. Mohamad Roni kemudiannya bertindak membalas tembakan yang mengenai kedua-dua kaki suspek.

Suspek yang berjaya ditangkap ialah seorang lelaki 55 tahun yang cedera di kaki, dan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun – kedua-duanya warga tempatan. Isteri mangsa yang berusia 35 tahun, anak dan pembantu rumahnya selamat. Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Sig Sauer daripada suspek. Kes disiasat di bawah Sekyen 3, Akta Senjata Api 1971. – Astro Awani


Leave a Reply