Input your search keywords and press Enter.

Kementerian Mahu Tanam Nanas Di Ladang FELDA

M Update, 21/5/2019 – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melaksanakan projek perintis tanaman selingan nanas di beberapa tanah rancangan FELDA dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan peneroka, sebelum hujung tahun ini.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub, berkata Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) sedang melakukan kajian bagi mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk tujuan itu. Kita sedang mengenal pasti tanah rancangan FELDA yang mempunyai jenis tanah sesuai untuk tujuan penanaman nanas yang kini dikategorikan sebagai sumber rezeki baharu negara.

Selain FELDA, tanaman selingan nanas juga boleh ditanam di ladang sawit dan getah lain supaya petani boleh mendapat pendapatan sampingan berikutan kedua-dua komoditi itu berdepan ketidaktentuan harga ketika ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di Wisma Nanas semalam. Salahuddin berkata, nilai eksport produk nanas meningkat 56 peratus kepada RM342 juta pada tahun lalu berbanding RM208 juta pada 2017 berikutan peningkatan permintaan yang tinggi di luar negara.

Katanya, produk nanas termasuk buah segar, jus dan benih dieksport ke lebih 20 negara termasuk Jepun, Korea Selatan, China, Hong Kong, Singapura, Arab Saudi, Iran, Mesir, Jerman dan Perancis. Beliau berkata, walaupun bersaing dengan beberapa negara pengeksport seperti Filipina dan Costa Rica, nanas Malaysia mempunyai kelebihan terutama dalam aspek kualiti termasuk kemanisan, berat, rupa selain mematuhi standard keselamatan makanan serta Amalan Pertanian Baik (MyGAP).

Katanya, permintaan nanas dalam negara juga meningkat terutama bagi nanas jenis MD2 yang terkenal kerana keunikan rasa dan khasiatnya. – BH Online

Leave a Reply