Input your search keywords and press Enter.

Suami isteri kongsi kediaman dengan 80,000 lebah

M Update, 21/05/2019 – Populasi lebah di seluruh dunia dilaporkan semakin terancam namun sebuah rumah di Sepanyol rupa-rupanya berada dalam keadaan sempurna untuk berfungsi sebagai habitat serangga itu.

Sepasang suami isteri yang diganggu dengan bunyi dengungan sejak beberapa lama hingga gagal melelapkan mata pada waktu malam memutuskan untuk mengambil tindakan dan terkejut apabila mendapati mereka sebenarnya berkongsi kediaman itu dengan hampir 80,000 ekor lebah.

Penjaga lebah Sergio Guerrero memberitahu, pasangan terbabit mula menyedari kewujudan lebah di kediaman mereka setahun lalu namun masalah itu gagal diselesaikan semua pihak termasuk jabatan bomba dan majlis perbandaran.

Apabila suhu mula meningkat, bunyi bising itu semakin menjadi-jadi dan pakar lebah Guerrero dari syarikat terapi lebah, La Colmena Sanadaro dipanggil untuk membantu.

“Sejak tiga bulan lalu, bunyi bising berkenaan semakin keterlaluan dan mereka tidak tahu apa yang boleh dilakukan lagi,” kata Guerrero.

Apa yang ditemui Guerrero pada 12 Mei lalu amat mengejutkan walaupun kepada penjaga lebah berpengalaman sepertinya, iaitu kira-kira 80,000 ekor lebah di sebalik dinding bilik tidur pasangan suami isteri terbabit.

Menurut Guerrero, beliau terkejut apabila mendapati manusia boleh berkongsi kediaman mereka dengan ‘jiran yang bising’ seperti serangga berkenaan, apatah lagi dengan saiz sarang sebesar itu.

“Dari saiz sarang, saya yakin ia sudah berada di situ untuk beberapa tahun. Bunyi bising itu walaupun tidak konsisten, ia akan meningkat berdasarkan aktiviti serangga terbabit,” katanya. – Agensi

Leave a Reply