Input your search keywords and press Enter.

Dua pendaki maut, Gunung Everest ‘sesak’

M Update, 24/05/2019 – Pendaki tersekat dalam ‘kesesakan lalu lintas teruk’ di Gunung Everest selepas penganjur melaporkan dua lagi kematian berlaku berhampiran puncak tertinggi dunia itu semalam.

Lebih 200 pendaki memanjat gunung itu dari arah Nepal dan China kelmarin berikutan cuaca cerah, namun terpaksa berbaris selama beberapa jam, berisiko menyebabkan reput fros dan penyakit altitud.

Seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) dan seorang warga India menjadi korban terbaharu, kata penganjur ekspedisi, pada hari paling sibuk pendakian di puncak setinggi 8,848 meter itu,

Donald Lynn Cash, 55, rebah berhampiran puncak gunung itu ketika mengambil gambar, lapor AFP.

Sementara Anjali Kulkarni, 54, meninggal dunia selepas jatuh sakit ketika turun.

Empat kematian dicatatkan ketika pendakian pada musim ini.

Seorang pendaki India meninggal dunia minggu lalu dan pendaki Ireland dianggap mati selepas tergelincir dan terjatuh berhampiran puncak Everest.

Penganjur ekspedisi Kulkarni, Arun Treks berkata, kesesakan teruk di puncak itu melambatkan penurunan beliau dan menyebabkan kematian pendaki itu.

“Beliau terpaksa menunggu lama untuk sampai ke puncak dan menurun. Agak malang beliau tidak dapat turun sendiri dan meninggal dunia ketika pemandu Sherpa membawanya turun,” kata Thupden Sherpa.

Sementara itu, Pasang Tenje Sherpa dari Pioneer Adventure, memberitahu, Cash rebah di puncak dan meninggal dunia hampir dengan Hillary Step ketika pemandu membawanya turun. —AFP/Agensi

Leave a Reply