Input your search keywords and press Enter.

Polis Jepun serbu rumah suspek serangan

M Update, 29/05/2019 – Polis Jepun memeriksa kediaman milik lelaki yang menyerang orang ramai menggunakan pisau di Kawasaki, semalam, yang menyebabkan dua maut, termasuk seorang kanak-kanak.

Bagaimanapun, suspek berusia 51 tahun yang dikenali sebagai Ryuichi Iwasaki itu meninggal dunia selepas menikam dirinya sendiri, dan motif kejadian masih belum diketahui.

Menurut stesen penyiaran NHK, serbuan ke atas kediaman Iwasaki yang terletak tidak jauh dari lokasi insiden itu, dilakukan pagi tadi dan beberapa barang turut dirampas.

Media tempatan melaporkan, Iwasaki tinggal bersama ahli keluarganya yang berusia dalam lingkungan 80-an di rumah berkenaan, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Malah, pekerjaan Iwasaki juga tidak diketahui.

Pihak polis juga enggan mengulas lanjut mengenai hasil siasatan dan tidak mendedahkan maklumat mengenai penyerang itu.

Sementara itu, insiden yang berlaku di sebuah bandar di selatan Tokyo berkenaan, mengakibatkan murid sekolah, Hanako Kuribayashi, 11, dan seorang kakitangan kerajaan, Satoshi Oyama, 39, terbunuh.

Pihak berkuasa berkata, seramai 17 lagi mangsa cedera, kebanyakannya kanak-kanak. – AFP

Leave a Reply