Input your search keywords and press Enter.

Hospital California terima kelahiran bayi paling kecil dunia

M Update, 30/05/2019 – Sebuah hospital di California semalam mendedahkan kelahiran bayi paling kecil di dunia, hanya seberat 245 gram, menyamai sebiji epal bersaiz besar.

Bayi itu yang diberi nama timangan Saybie oleh petugas hospital, dilahirkan ketika kandungan ibunya baru berusia 23 minggu dan tiga hari di Hospital Bayi dan Wanita Sharp May Birch di San Diego.

Bapa bayi itu berkata, beliau dimaklumkan anaknya itu hanya mampu bernafas kira-kira sejam sebelum meninggal dunia.

“Namun tempoh sejam bertukar kepada dua, berlanjutan kepada sehari dan mencecah seminggu,” kata ibu Saybie dalam video yang dikeluarkan pihak hospital.

Menurut doktor, Saybie dilahirkan menerusi kaedah pembedahan kecemasan pada Disember lalu susulan beberapa komplikasi yang membahayakan nyawa ibunya.

Selepas hampir lima bulan diletakkan dalam unit rawatan rapi neonatal, bayi itu dibenarkan pulang ke rumah awal bulan ini dan kini memiliki berat sebanyak 2.2 kilogram.

“Dia adalah satu keajaiban,” kata Kim Norby iaitu antara jururawat bertugas menjaga Saybie ketika bayi berkenaan bertarung nyawa meneruskan kehidupan.

Seorang lagi jururawat, Emma Wiest berkata, saiz Saybie terlalu kecil sehingga sukar untuk dilihat.

Ketika dilahirkan, bayi ajaib itu hanya sebesar saiz kotak jus kanak-kanak atau tapak tangan penjaganya. – AFP

Leave a Reply