Input your search keywords and press Enter.

Wartawan permotoran terkenal AS hilang selepas uji pandu motosikal

M Update, 11/06/2019 – Seorang wartawan permotoran terkenal Amerika Syarikat dilaporkan hilang hampir seminggu selepas menguji pandu sebuah motosikal berkuasa tinggi di kawasan pergunungan utara California, kata polis.

Davey Johnson, 44 dari Sacramento sedang menguji pandu motosikal Honda CBR1000 di kawasan pergunungan sejuk dan sukar dilalui untuk artikel bagi majalah Motorcyclist.

Menurut polis dan majalah Car and Driver, motosikal itu bagaimanapun ditemui hujung minggu lalu di kawasan rehat Route 49 berhampiran pekan Mokelumne Hill bersama topi keledar dan sarung tangan.

Polis turut menjumpai pakaian Johnson, telefon bimbit, komputer riba dan dompet yang terletak kemas berhampiran anak sungai bersalji di situ.

Komunikasi terakhir Johnson adalah pada 5 Jun lalu menerusi pesanan ringkas yang dihantar kepada teman wanitanya.

Beliau turut mengirim mesej bergambar kepada rakan dan memberitahu akan pulang ke Sacramento, kira-kira 105 kilometer dari lokasi penemuan barang miliknya.

Menurut beberapa rakannya di media sosial, sepasukan anggota polis dan sukarelawan, bersama enam anjing pengesan serta helikopter sudah memulakan pencarian di sepanjang tebing sungai dan lebuh raya sejak Sabtu lalu.

Dalam wawancara berasingan, teman wanita Johnson, Jaclyn Trop berkata, beliau tidak akan berputus asa dalam menjejaki lelaki itu dan yakin teman lelakinya itu mampu menyelamatkan diri jika tersesat.

“Saya hanya berharap beliau mampu mencari ikhtiar untuk terus hidup,” katanya kepada majalah Car and Driver, Sabtu lalu. – Reuters

Leave a Reply