Input your search keywords and press Enter.

Arah lelaki diserang, kakak Putera Mahkota Arab Saudi bakal dibicara bulan depan

M Update, 13/06/2019 –  Kakak kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman akan dibicarakan di Paris bulan depan selepas didakwa mengarahkan pengawal peribadinya membelasah seorang pekerja, kata seorang sumber perundangan.

Kes membabitkan Puteri Hassa Salman itu bermula dari satu serangan di pangsapuri mewah miliknya di Avenue Foch, barat Paris pada September 2016.

Sumber memberitahu, perbicaraan dijadualkan bermula pada 9 Julai.

Menurut keterangan mangsa, dia diarahkan mengubah suai kediaman Puteri Hassa sebelum wanita itu menjadi berang apabila melihat pekerja terbabit merakam gambar dan menuduhnya ingin menjual foto berkenaan kepada pihak media.

Mangsa mendakwa puteri berusia 45 tahun itu mengarahkan dia dipukul oleh pengawal peribadinya.

Majalah Le Point melaporkan, puteri berkenaan menjerit “Bunuh dia, anjing itu. Dia tak layak untuk hidup,” ke arah pengawal peribadi terbabit, iaitu arahan supaya mangsa dibelasah.

Mangsa berkata, dia ditumbuk di bahagian muka manakala kedua tangan diikat dan dipaksa mencium kaki puteri berkenaan sepanjang diseksa selama beberapa jam.

Peralatan pertukangan yang digunakan turut dirampas sebelum dibenarkan pulang.

Menurut laporan, kecederaan yang dialami mangsa amat parah sehingga diarahkan untuk tidak bertugas selama lapan hari.

Pengawal peribadi itu bagaimanapun sudah didakwa pada 1 Oktober 2016 atas tuduhan melakukan keganasan bersenjata, mencuri, mengeluarkan ugutan bunuh dan menahan seseorang tanpa kerelaan. – AFP

Leave a Reply