Input your search keywords and press Enter.

Agong Beri Penghormatan Kepada Wira UAE

M Update, 14/6/2019 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melawat Wahat Al-Karama, sebuah tapak peringatan untuk wira UAE yang terkorban, pada hari kedua lawatan khas tiga hari baginda ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Baginda meluangkan masa kira-kira setengah jam pada petang semalam di tapak peringatan itu yang dibina pada 2016 sebagai tanda penghormatan kekal dan peringatan perang bagi menghormati anggota tentera dan warganegara UAE lain yang gugur syahid dan mengorbankan nyawa mereka demi berkhidmat untuk negara. Lawatan bermula dengan Sultan Abdullah dan Pengarah Urusan Pejabat Syahid, Sheikh Khalifa bin Tahnon Alnahyan, memeriksa Perbarisan Hormat yang terdiri daripada 20 anggota tentera UAE.

Yang di-Pertuan Agong kemudian menyentuh lingkaran bunga di situ dengan kedua-dua tangan baginda sebelum bertafakur seminit sebagai tanda memperingati wira yang gugur. Sheikh Khalifa bin Tahnon Alnahyan kemudian mengiringi lawatan Seri Paduka sambil memberi penerangan tentang tugu peringatan itu yang mana Sultan Abdullah dilihat mengangguk tanda faham sebelum menandatangani buku pelawat dan seterusnya berangkat meninggalkan tapak peringatan itu.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya; Duta Malaysia ke UAE, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Datuk Yubazlan Yusof.

Menurut laporan, Wahat Al Karama adalah sebuah istana yang dibina hasil cetusan wawasan Presiden UAE, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan untuk mengabadikan kenangan terhadap wira negara. Ia meliputi satu kawasan seluas 46,000 meter persegi dan secara simbolik terletak antara Masjid Besar Sheikh Zayed dan Ibu Pejabat Angkatan Tentera UAE, menggunakan 31 tablet besar diperbuat daripada aluminium yang bersandaran antara satu sama lain bagi melambangkan perpaduan, solidariti dan saling kebergantungan yang mengikat bersama pucuk kepimpinan, rakyat serta anggota pasukan keselamatan lelaki dan wanita yang melindunginya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menerima mengadap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Kepresidenan UAE, Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan pada satu perjumpaan tertutup yang diadakan selama kira-kira setengah jam di Istana Emiriah. Ini adalah lawatan pertama Sultan Abdullah ke UAE selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu. -Bernama

Leave a Reply