Input your search keywords and press Enter.

FDI suku pertama melonjak 73.4%

Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) diluluskan bagi suku pertama 2019 melonjak 73.4 peratus kepada RM29.3 bilion berbanding RM16.9 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

MoF berkata, FDI yang diluluskan untuk semua sektor bernilai RM29.3 bilion bagi suku pertama 2019 ini dijangka akan mewujudkan lebih daripada 41,200 peluang pekerjaan baharu yang mana 22,970 pekerjaan membabitkan sektor pembuatan manakala 18,000 dalam sektor perkhidmatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MoF) berkata Malaysia sedang menikmati manfaat berterusan daripada lencongan perdagangan dan pelaburan berikutan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Menurut kementerian, kenaikan jumlah FDI diluluskan bagi Q1 2019 itu disumbangkan oleh peningkatan pelaburan ketara sektor pembuatan yang melonjak 127 peratus kepada RM20.2 bilion berbanding RM8.9 bilion, setahun lalu.

“Daripada RM20.2 bilion FDI diluluskan dalam sektor itu, sejumlah RM11.5 bilion dari AS manakala China RM4.4 bilion dan Singapuran sebanyak RM2.2 bilion,” katanya.

Sementara itu, pertumbuhan pengeluaran perindustrian bagi April 2019 meningkat sebanyak 4.0 peratus tahun ke tahun daripada 3.1 peratus dalam Mac, didorong oleh peningkatan sektor pembuatan dan pemulihan output dalam sektor perlombongan.

“Kadar pertumbuhan pada April itu adalah yang tertinggi dalam tempoh enam bulan dan mengatasi unjuran pasaran pada 2.5 peratus mengikut Bloomberg,” kata MoF.

Kementerian itu berkata, pertumbuhan itu berlaku ketika kadar inflasi kekal rendah dan stabil pada 0.2 peratus.

“Harga barangan asas pengguna telah berjaya dikurangkan dan disebabkan oleh beberapa faktor termasuk perubahan sistem cukai daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan serta pengenaan harga siling ke atas harga runcit (bahan api) RON95 dan diesel,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply