Input your search keywords and press Enter.

Kualiti Air Di Kuala Koh Bebas Pencemaran – TPM

M Update, 14/6/2019 – Kerajaan pusat mengesahkan kualiti air di kawasan lombong manganese dan air tadahan bukit di Kampung Orang Asli Kuala Koh, Gua Musang bebas daripada pencemaran.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan ujian sampel air itu diambil oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Keputusan yang dikeluarkan Jabatan Kimia pada 12 Jun lalu secara keseluruhannya mendapati kualiti air di lokasi persampelan itu adalah mematuhi Standard Kualiti Air Minum Kebangsaan bagi air mentah.

Siasatan JAS mengesahkan tidak terdapat sebarang kejadian pelepasan sisa dari perlombongan manganese di Aring 10 yang terletak tiga kilometer dari perkampungan Orang Asli Kuala Koh,” katanya pada sidang media di Gua Musang hari ini. Beliau berkata demikian selepas meninjau perkembangan kes Orang Asli Kuala Koh yang dipercayai terkena jangkitan radang paru-paru di pusat operasi Felda Aring 10 hari ini.

Dalam program itu, beliau turut mendengar taklimat daripada pelbagai agensi yang terbabit dan menyampaikan sumbangan bantuan kepada Orang Asli. Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy serta Menteri Air Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang giat menjalankan siasatan dan ujian makmal bagi mengenal pasti punca jangkitan ini yang akan diketahui dalam masa terdekat.

“Insya-Allah keputusan akan diketahui dalam tempoh dua tiga hari lagi. Mereka sedang berusaha untuk cari punca sebab ini adalah satu fenomena baharu yang tidak pernah melanda Orang Asli membabitkan jumlah kematian mendadak. Ujian diambil daripada orang sakit, yang meninggal dunia, ini juga alami sedikit kesulitan kerana ada sesetengah dikebumi ikut budaya yang sesetengahnya diletak di atas pokok jatuh dan dilarikan binatang buas,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan KKM terhadap Orang Asli yang meninggal dunia dan menerima rawatan mendapati negatif tibi, kencing tikus serta parasit. Mungkin virus berkenaan yang belum dikenal pasti sudah merebak dalam kehidupan budaya mereka sejak sekian lama,” katanya. Menurutnya, setakat ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) menemui lapan mayat bagi mencari punca kematian. – HM online

Leave a Reply