Input your search keywords and press Enter.

Pelajar Malaysia Meninggal Dunia Di Mesir

M Update, 14/6/2019 – Seorang pelajar dari Terengganu, Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf Mohd Shukri, 24, meninggal dunia di Hospital Safarat di Hayyu Sabi’e, Kaherah pada jam 2 petang semalam (8 malam waktu Malaysia).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat, berkata pelajar tahun tiga jurusan Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar, Mesir itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan. Beliau berkata, penuntut berkenaan dikejarkan ke Hospital Safarat jam 2.07 pagi kelmarin (8.07 pagi waktu Malaysia) selepas tidak sedarkan diri dan terpaksa menjalani pembedahan berikutan mengalami pendarahan dalam otak.

“Kita berdukacita dengan pemergian Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf, namun Allah lebih menyayanginya dan marilah kita sama-sama mendoakan Allahyarham ditempatkan di kalangan golongan beriman dan beramal soleh.

Jenazah Allahyarham sudah selamat dikebumikan di sana sebelum Maghrib semalam (waktu Mesir),” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini hari ini. Hanafiah berkata, ibu bapa penuntut berkenaan dari Kampung Perah, Ajil sepatutnya berlepas ke Mesir esok untuk menziarah anak mereka, namun Mohammad Fahmi terlebih dahulu pergi meninggalkan mereka buat selamanya.

Sebelum menerima berita sedih ini, kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan kecemasan RM10,000 untuk menampung kos tiket penerbangan dan penginapan ibu bapa Allahyarham yang akan ke sana esok untuk melancarkan urusan rawatan anak mereka. Bagaimanapun, hasrat mereka menziarah Allahyarham di hospital tidak kesampaian. Namun, kedua ibu bapa Allahyarham akan tetap diterbangkan ke sana dengan ditemani Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim.

Justeru, kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera RM20,000 untuk menampung kos penerbangan dan perbelanjaan mereka di sana esok,” katanya.

Terdahulu, kisah Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf dimasukkan ke hospital itu tular di media sosial sejak malam kelmarin apabila sebuah badan bukan kerajaan (NGO) melancarkan tabung derma kilat berikutan keluarga Allahyarham memerlukan lebih RM40,000 untuk membiayai kos pembedahan Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf. Sementara itu, Al Azhar Care dalam hantaran di laman Facebooknya berkata, setakat ini sumbangan terkumpul sudah melebihi RM1,000 dan ia akan diserahkan kepada ibu bapa Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf.

Baru sahaja kami di Al Azhar Care melancarkan tabung untuk membantu beliau (Mohammad Fahmi) yang berada di hospital di Mesir dan hari ini (semalam) kami mendapat khabar sedih bahawa beliau sudah menghadap Ilahi. Kami membuka lima hari lagi untuk kutipan sumbangan buat keluarga Fahmi untuk membantu keluarganya menyelesaikan hutang Allahyarham dan kos pengurusan jenazah,” kata wakil NGO itu.

Saudara saudari yang budiman boleh berinfak ke akaun Maybank kami, Al Azhar Care nombor akaun 563028620997,” kata wakil NGO berkenaan di Facebook. – BH Online

Leave a Reply