Input your search keywords and press Enter.

Penyerang masjid Christchurch buat pengakuan hari ini.

WELLINGTON: Suspek penyerang dua masjid Christchurch, Brenton Tarrant membuat pengakuan tidak bersalah hari ini atas beberapa tuduhan membunuh dan aktiviti keganasan serta akan dibicarakan pada tahun depan berhubung insiden tembakan besar-besaran yang menggemparkan rakyat New Zealand.

Dalam serangan 15 Mac lalu disiarkan secara langsung di Facebook, Tarrant, pengganas kulit putih berasal dari Australia yang bersenjatakan senapang semi-automatik, menyasar penganut Islam yang menunaikan solat Jumaat di dua masjid Christchurch, mengorbankan 51 jemaah serta mencederakan puluhan lain.

Tarrant sudah berdepan 50 tuduhan membunuh atas serangan itu dan apabila dihadapkan di Mahkamah Tinggi Christchurch esok, dia akan didakwa mengikut akta keganasan, kali pertama tuduhan seperti itu dibacakan di New Zealand.

Polis mengumumkan rancangan membawa pertuduhan keganasan dan pertuduhan tambahan membunuh bulan lalu.

Kenyataan dikeluarkan kepada media oleh Hakim Mahkamah Tinggi Christchurch, Cameron Mander minggu lalu berkata, Tarrant dijangka membuat pengakuan berhubung tuduhan ke atasnya.

Tertuduh tidak dikehendaki membuat pengakuan ketika dihadapkan di mahkamah 5 April lalu oleh kerana Mander mengarahkan dia menjalani penilaian mental terlebih dulu untuk menentukan jika dia layak dibicarakan.

Mahkamah juga menarik balik arahan yang memerlukan wajah Tarrant ditutup, memaksa media menerbitkan imej kabur wajahnya.

“Mahkamah memutuskan tidak perlu lagi imej wajah defendan ditutup dan arahan kini ditarik balik,” kata hakim.

Tarrant ditahan sejurus selepas kejadian tembakan itu dan dipindahkan ke satu-satunya penjara kawalan ketat New Zealand di Auckland. Dia akan dihadapkan di Mahkamah Tinggi Christchurch menerusi hubungan video.

Perdana Menteri Jacinda Ardern melabel kejadian pembunuhan besar-besaran itu sebagai tindakan keganasan dan segera memperkenalkan undang-undang baharu senjata api yang mengharamkan penggunaan senjata semi-automatik. -Reuters

Leave a Reply