Input your search keywords and press Enter.

Sistem Rawatan Air Kuala Koh Akan Dibina

M Update, 19/6/2019 – Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) akan memasang sistem rawatan air lapangan ‘SafeWhere’ di perkampungan Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang bagi membekalkan air terawat kepada penduduk di kampung itu.

IMARET melancarkan kempen pengumpulan dana dalam talian bermula hari ini untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya RM60,000 bagi membina sistem rawatan air lapangan.

Sistem rawatan air berkuasa solar dengan kapasiti 12,500 liter air terawat sehari yang mampu bertahan sehingga 10 tahun itu sudah dipasang di kawasan pedalaman Kelantan, termasuk di Kampung Orang Asli Lambok di Kuala Betis, Gua Musang pada Januari lalu.

Ketua Koordinator IMARET, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berwajib seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi tujuan pemasangan sistem rawatan air itu.

Sistem SafeWhere atau ‘Safe Water EveryWhere’ diiktiraf sebagai projek khas di bawah Persekutuan Perubatan Islam Sedunia (FIMA) sejak 2017 bagi meningkatkan bekalan air selamat kepada penduduk yang memerlukan di seluruh dunia.

SafeWhere bukan hanya membekalkan air bersih tetapi air terawat yang selamat diminum iaitu menepati piawaian air minuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO Drinking Water Standards).

Sumbangan boleh dilakukan dengan melayari Facebook IMARET atau ke akaun Persatuan Perubatan Islam Malaysia (CIMB 8600 703 709) dengan rujukan ‘Orang Asli’.

Sistem SafeWhere sebelum ini dipasang di Dabong (Kuala Krai) dan Kuala Betis (Gua Musang) di Kelantan, Ulu Tiram di Johor serta Kem Pelarian Balukhali/Kutupalong di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply