Input your search keywords and press Enter.

Kenyataan Akhbar KPK 21 Jun 2019 – Kejadian Pelajar Sekolah Sesak Nafas Di Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor

Pada 20 Jun 2019, Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan satu kejadian pelajar-pelajar sekolah mengalami gejala sesak nafas telah berlaku di Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor. Panggilan kecemasan telah diterima pada jam 3 petang dan pasukan bantuan kecemasan dari Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang telah digerakkan untuk memberi bantuan. Operasi bantuan rawatan kecemasan tamat pada jam 8 malam pada 20 Jun 2019. Punca kejadian masih belum dapat dikenalpasti.

Sehingga 21 Jun 2019 pada jam 10.00 pagi, terdapat 29 orang mangsa telah mendapatkan rawatan iaitu 21 perempuan dan 8 lelaki. 16 orang daripada mereka adalah dari Sekolah Agama Taman Mawar, iaitu 14 pelajar dan 2 dewasa, manakala 13 orang lagi adalah dari Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang (4) di mana kesemuanya adalah pelajar.

Seramai 14 orang mangsa telah dirawat sebagai pesakit luar dan 15 orang mangsa diberi rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru di mana 6 daripadanya telah dimasukkan ke wad. Keadaan kesemua pesakit adalah stabil. Tiada kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kematian dicatatkan.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor masih melakukan pemantauan di lapangan berikutan kejadian yang berlaku. Orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan. Klinik Kesihatan Pasir Gudang turut dibuka pada pagi ini bagi menerima dan merawat lain-lain mangsa yang mungkin terkesan susulan daripada kejadian ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam menguruskan kejadian ini. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

21 Jun 2019, 11.00 pagi

Leave a Reply