Input your search keywords and press Enter.

Angkara Cemburu, Duda OKU Maut Dipukul

M Update, 24/6/2019 – Cemburu dipercayai punca lelaki orang kurang upaya (OKU) dipukul hingga maut dengan kayu yang diletakkan paku di Jalan Kenanga 8, FELCRA Changkat Lada di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Badrul Hisham Ngah Aziz, 42, yang juga duda anak tiga parah di beberapa anggota badan akibat dipukul seorang lelaki lain. Difahamkan, sebelum itu mangsa bersama isteri suspek dikatakan keluar ke Teluk Intan untuk membeli barang dengan menaiki sebuah kereta pada kira-kira jam 12 tengah hari.

Suspek menahan kereta dipandu mangsa dan memecahkan tingkap kenderaan itu sebelum menarik lelaki OKU yang cacat kaki kiri itu keluar dan memukulnya. Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan rumah suspek, namun lelaki berusia awal 40-an itu sudah tidak duduk bersama isterinya kerana mereka dalam proses perceraian sejak hampir setahun lalu.

Ketika polis tiba di lokasi kejadian, suspek masih memukul mangsa sebelum berjaya dileraikan polis. Suspek mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan dengan mangsa dan kejadian dipercayai berpunca kerana cemburu hingga suspek memukul mangsa menggunakan kayu yang diletakkan paku. Kejadian itu berlaku di hadapan isteri suspek.

Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintendan Nik Rosdi Nik Yahya, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.40 petang. Mangsa yang parah di seluruh badan akibat dipukul disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di situ. Katanya, suspek yang tidak sempat melarikan diri ditahan polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – BH Online

Leave a Reply