Input your search keywords and press Enter.

KPWKM Lancar Video Pendidikan Seks Untuk Kanak-kanak

M Update, 24/6/2019 – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melancarkan video pendidikan seks untuk kanak-kanak melalui medium digital Youtube sebagai usaha bagi menangani isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Lima video berdurasi satu minit setiap satu itu ditayangkan sebelum video kegemaran kanak-kanak seperti lagu kanak-kanak, siri kartun, mengenali huruf dan warna serta sebagainya, dalam bentuk iklan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, video berkenaan adalah kerjasama KPWKM bersama pertubuhan bukan kerajaan, Malaysia Against Pornography selain kerjasama dengan pihak Google. Menurutnya, pihaknya mensasarkan video pendidikan seks ‘safe touch’ (sentuhan selamat) dan ‘bad touch’ (sentuhan jahat) itu ditonton kira-kira 150,000 kanak-kanak di negara ini serta ditayangkan bermula hari ini di Youtube.

KPWKM mengambil langkah kreatif untuk menyampaikan dan menyebar luas video pendidikan seks ini kepada kanak-kanak supaya ia mencapai matlamat kementerian bagi mengurangkan kes jenayah seksual kanak-kanak di Malaysia. Dalam pada itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kanak-kanak perlu mengetahui dan diajar mengenai ‘safe touch’ (sentuhan selamat) dan ‘bad touch’ (sentuhan jahat) seawal mungkin.

Pengetahuan dan kesedaran yang disampaikan melalui video ini adalah perkara asas kanak-kanak perlu tahu untuk mengelak diri daripada menjadi mangsa dan membantu mereka mengenal pasti tingkah laku mencurigakan yang sepatutnya dilaporkan. Lebih-lebih lagi selepas mengambil kira kemungkinan pelaku kesalahan seksual adalah dalam kalangan ahli keluarga atau kenalan yang dikenali rapat.

Justeru, kita berharap kanak-kanak akan dapat mengenal pasti sebarang petanda atau tingkah laku mencurigakan seawal mungkin dan melaporkannya segera,” katanya. Beliau berkata, Talian Kasih 15999 dan Talian Kecemasan 999 adalah talian yang disediakan oleh kerajaan bagi membantu ibu bapa dan masyarakat membuat laporan. – HM Online

Leave a Reply