Input your search keywords and press Enter.

Undian jutaan penduduk Istanbul mula dikira

M Update, 24/06/2019 –  Undian jutaan penduduk Turki mula dikira hari ini selepas waktu mengundi ditutup untuk pilihan raya datuk bandar yang turut bertindak sebagai pungutan suara ke atas dasar diperkenalkan Presiden Recep Tayyip Erdogan dan ujian kepada sistem demokrasi negara itu.

Dalam undian awal pada 31 Mac, calon pembangkang dari Parti Rakyat Republikan meraih kemenangan tipis ke atas Parti AK (AKP) pimpinan Erdogan di bandar terbesar Turki itu, iaitu kekalahan yang jarang berlaku ke atas presiden.

Namun beberapa minggu selepas rayuan AKP, Lembaga Tinggi Pilihan Raya Turki membatalkan keputusan berkenaan dengan memberikan perkara luar dari kebiasaan sebagai faktor.

Keputusan berkenaan disifatkan pembangkang sebagai ‘pencabulan’ terhadap sistem demokrasi yang membawa kepada pengundian pusingan kedua.

“Adalah sangat tidak munasabah untuk pilihan raya diadakan semula. Ia adalah satu pertandingan yang dimenangi secara adil.

“Sangat jelas siapa yang membatalkan pilihan raya itu. Kami harap kali ini ia memberikan pengajaran buat mereka,” kata Asim Solak, 50 yang memberitahu, beliau mengundi calon CHP di kubu kuat parti terbabit di Tesvikiye.

Pusat mengundi di seluruh Istanbul ditutup pada jam 5 petang (waktu tempatan) dengan 10.56 juta penduduk mendaftar untuk mengundi di bandar berkenaan.

Keputusan akan diumumkan lewat hari ini.

Ejen hartanah Bayram, 60 berkata beliau memilih calon AKP, bekas perdana menteri Binali Yildrim kerana yakin CHP menerima sokongan kuasa asing seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Israel.

“Kesemua kuasa ini mahukan serba sedikit daripada Istanbul dan akan menimbulkan kekacauan. Musuh kepada musuh saya ialah rakan. Kesemua kuasa asing ini tidak menyukai Erdogan jadi beliau ialah rakan saya,” katanya selepas mengundi di kubu kuat AKP iaitu daerah Kagithane. – Reuters

Leave a Reply