Input your search keywords and press Enter.

Wan Azizah : Ancaman Jenayah Siber Semakin Menggerunkan

M Update, 24/6/2019 – Ancaman jenayah siber di negara ini menunjukkan perkembangan yang amat menggerunkan, sekali gus memerlukan perhatian serius semua pihak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata jenayah siber merekodkan kerugian RM153 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini. Kerugian jenayah siber dalam tempoh lima bulan pertama 2019 ialah kira-kira 38 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian RM398.6 juta pada 2018.

Apa yang membimbangkan saya ialah peningkatan mendadak salah satu jenayah siber, iaitu penipuan e-kewangan. Saya dimaklumkan kerugian penipuan e-kewangan dalam tempoh Januari hingga Mei 2019 berjumlah RM40.7 juta dan ia melebihi kerugian sebanyak RM40.5 juta bagi keseluruhan 2018.

Bayangkan kerugian dalam tempoh lima bulan tahun ini sudah melebihi kerugian selama 12 bulan tahun lalu,” katanya ketika berucap pada Majlis Aidilfitri anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini, semalam. Hadir sama, Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye dan Naib Pengerusinya, Kamal Affandi Hashim.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata MCPF perlu menjalin kerjasama dengan Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk memerangi peningkatan jenayah siber. MCPF bersama-sama dengan rakan strategiknya perlu sentiasa peka dengan perkembangan jenayah sedia ada mahu pun jenayah dalam bentuk baharu.

Benar, MCPF mempunyai pengalaman 26 tahun sejak ditubuhkan pada 1993, tetapi jenayah mempunyai corak dan cara baharu tahun demi tahun. Malah, perkembangan pesat alam siber juga menyebabkan kita mendengar pelbagai jenayah jenis baharu yang kita tidak pernah dengar sebelum ini,” katanya. – BH Online

Leave a Reply