Input your search keywords and press Enter.

PM : Pencemaran Pasir Gudang, Tindakan Keras Menanti

M Update, 25/6/2019 – Kerajaan akan ‘memburu’ dalang di sebalik insiden pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor dan mengenakan tindakan undang-undang keras terhadap mereka, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri ketika mengutarakan pendirian tegas itu, berkata insiden pencemaran di daerah dekat timur Johor itu amat mendukacitakan dan tidak sepatutnya berlaku, memandangkan kejadian sama membabitkan bahan toksik pernah melanda kawasan sama di Sungai Kim Kim.

“Ini amat dukacita, sepatutnya selepas insiden yang dulu, ia tidak berlaku lagi, tapi kita nampak bahawa ada industri yang tidak begitu prihatin terhadap keselamatan, sebab itu kita perlu kenal pasti siapa yang mencemarkan persekitaran di situ.

Kita akan ambil tindakan yang keras terhadap mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Malaysia Baharu Dalam Perubahan Pemerintahan Serantau, sempena Meja Bulat Asia-Pasifik Ke-33, di sini, hari ini.

Pada 20 Jun lalu, 14 pelajar dan dua dewasa dari Sekolah Agama Taman Mawar (SATM), manakala 13 lagi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang (4), mengalami sesak nafas, loya dan muntah, dipercayai akibat pencemaran udara.

Kejadian itu menyusul hanya kira-kira tiga bulan selepas kawasan sepanjang 1.5 kilometer di Sungai Kim Kim tercemar akibat pembuangan sisa toksik yang menjejaskan hampir 6,000 penduduk. – BH Online

Leave a Reply