Input your search keywords and press Enter.

Inkues Adib: Peguam Kerajaan Mewakili KPKT, Bomba

M Update, 26/6/2019 – Mahkamah Koroner hari ini diberitahu mengenai pelantikan empat peguam baharu bagi mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dalam pendengaran inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Mereka adalah tiga Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan; Mazlifah Ayob; dan Fadzilatul Isma Ahmad Refngah dan Peguam Persekutuan Afiq Zainal Abidin. Mahkamah juga dimaklumkan peguam Syazlin Mansor kini mewakili keluarga Muhammad Adib, selepas beliau menarik diri daripada mewakili KPKT dan JBPM pada 27 Mei lalu.

Sementara itu, Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairudin memberitahu mahkamah, semua pihak itu sudah bersetuju untuk tarikh pendengaran di sambung pada 3 hingga 5 Julai ini bagi membolehkan saksi inkues ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid memberi semula keterangan. Beliau berkata, berkenaan senarai pakar fizik yang dicadangkan, satu pihak sudah mengemukakan cadangan mereka sendiri. Kami masih mencari pakar fizik dan memohon masa sehingga Jumaat ini,” katanya.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, senarai nama pakar fizik itu boleh dikemukakan antara 3 hingga 5 Julai ini dan beliau akan membuat pilihan dalam tempoh sama. Katanya, lebih baik jika pakar fizik berkenaan datang memberi keterangan di mahkamah memandangkan kes itu mendapat perhatian umum. Kita nak putuskan isu pengiraan formula daripada seorang yang pakar dalam bidang ini,” katanya. Rofiah juga menetapkan tarikh 16 dan 17 Julai untuk pakar fizik yang akan dipilih kelak memberikan keterangannya.

Ketika ditemui di luar, Faten berkata, ketika ini semua pihak perlu mencadangkan nama dan mahkamah akan memilih seorang saja pakar fizik untuk memberi keterangan. Katanya, pakar fizik itu boleh terdiri daripada kakitangan kerajaan atau pihak swasta dengan syarat individu itu cukup baik untuk memberi penerangan. Boleh jadi, individu itu adalah ahli akademik atau dari universiti,” katanya. Pakar fizik itu akan memberi keterangan bagi memperjelaskan mengenai teori daya hentaman berkaitan keterangan pakar patologi forensik, sebelum ini.

Pada prosiding sebutan semula hari ini, turut kelihatan abang Muhammad Adib, Mohd Asraf, 31, yang duduk di galeri awam. – BH Online

Leave a Reply