Input your search keywords and press Enter.

Trump dikecam teruk susulan kematian dua beranak

M Update, 27/06/2019 – Dasar pendatang Presiden Donald Trump dikecam hebat Democrat susulan penyebaran gambar menggemparkan seorang pendatang Salvador dan bayi perempuannya yang mati lemas di Sungai Rio Grande.

“Trump bertanggungjawab di atas kematian itu,” kata seorang daripada beberapa calon presiden Democrat, Beto O’Rourke yang menyelar presiden itu menerusi Twitter.

Sementara bekas Naib Presiden, Joe Biden, yang turut bertanding merebut pencalonan presiden pada 2020, menyifatkan imej itu amat menyayat hati.

“Sejarah akan menghakimi bagaimana kita bertindak balas kepada layanan pentadbiran Trump ke atas keluarga pendatang dan kanak-kanak, kita tidak boleh berdiam diri,” katanya.

Trump membalas dengan cuba menyalahkan Democrat di Kongres, berkata: “Jika Amerika Syarikat mempunyai undang-undang tepat, yang Democrat tidak membenarkan kita memilikinya, pendatang tidak akan datang malah tidak akan cuba untuk datang.

“Mereka mahukan sempadan terbuka dan ia bermaksud jenayah, dan sempadan terbuka bermakna orang lemas dalam sungai.”

Mayat dua beranak dalam gambar yang tular itu ialah pemohon suaka, Oscar Alberto Martinez, 25, dan anak perempuannya berusia 23 bulan, Valeria.

Mereka lemas Ahad lalu ketika cuba menyeberang sungai Rio Grande dari Mexico ke Texas manakala ibu kanak-kanak itu melihat dari tebing sungai tanpa mampu berbuat apa-apa.

Bagi orang ramai, imej itu menyemarakkan semula memori gambar kanak-kanak Syria yang lemas di pantai Turki selepas cubaan menyeberang ke Greece gagal pada 2015.

Bercakap kepada AFP di rumahnya di San Salvador, ibu Oscar yang amat sedih, Rosa Ramirez, berkata anak lelakinya mengimpikan kehidupan lebih baik untuk anak perempuannya itu.

“Mereka cuma mahu ke Amerika Syarikat. Mereka ada impian itu,” katanya. — AFP

Leave a Reply