Input your search keywords and press Enter.

Facebook arah bangunan dikosongkan berikutan ancaman sarin

M Update, 02/07/2019 – Facebook Inc (Facebook) mengarahkan empat bangunan miliknya dikosongkan, manakala dua individu dipantau berikutan kebimbangan terdedah kepada agen saraf, iaitu sarin, semalam.

Arahan itu dikeluarkan selepas satu bungkusan yang diterima syarikat media sosial yang terletak di Lembah Silikon itu, didapati positif kandungan toksik.

Ketua bomba Menlo Park, Jon Johnson, iaitu bandar yang menempatkan bangunan Facebook, berkata mereka yang menerima bungkusan mencurigakan itu pada jam 11 pagi (waktu tempatan), tidak menunjukkan sebarang tanda terdedah kepada sarin.

“Facebook sudah menguji kesemua bungkusan yang diterima dan hasil ujian adalah positif, jadi mereka hanya mengikut protokol piawaian yang sudah ditetapkan.

“Ketika ini, kami masih menunggu pengesahan sama ada ia (ujian itu) benar atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Facebook, Anthony Harrison, berkata syarikat itu bertindak mengosongkan empat bangunan miliknya, susulan keputusan ujian adalah positif dan sedang bekerjasama dengan polis untuk menyiasat perkara itu.

“Pihak berkuasa masih belum mengenal pasti bahan yang ditemui. Setakat ini, tiga daripada bangunan yang dikosongkan sudah boleh dimasuki semula,” kata Harrison.

Selain itu, jurucakap Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berkata, beberapa ejen dari pejabatnya di San Francisco turut dikerah ke lokasi bagi membantu siasatan.

Sarin adalah sebatian toksik yang boleh menjejaskan sistem saraf dan ia sering digunakan sebagai senjata kimia.

Pendedahan kepada sarin boleh menyebabkan kematian. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *