Input your search keywords and press Enter.

India bawa turun mayat empat pendaki

M Update, 03/07/2019 – Penyelamat India membawa turun mayat empat daripada lapan pendaki yang terbunuh dalam kejadian salji runtuh hampir enam minggu lalu di gunung kedua tertinggi negara itu.

Empat warga Britain, dua rakyat Amerika, seorang penduduk tempatan dan seorang rakyat Australia hilang minggu akhir Mei ketika cuba mendaki Nanda Devi di Himalaya.

Selepas operasi panjang dan bahaya oleh pendaki elit India, mayat tujuh pendaki ditemui terikat bersama pada kedudukan 6,500 meter.

Mayat kelapan tidak ditemui.

Dengan kawasan itu tidak sesuai untuk helikopter, mayat dibawa turun ke kem dan empat daripadanya dibawa ke Pithoragarh, pekan utama kawasan itu, hari ini.

Tiga lagi mayat akan dibawa turun tidak lama lagi.

“Kami akan melengkapkan proses perundangan pengenalan dan bedah siasat dan menyimpan mayat di rumah mayat,” kata pegawai tempatan, Vijay Kumar Jogdande.

Kedutaan asing akan dimaklumkan sebaik proses selesai.

Pendaki itu adalah sebahagian ekspedisi 12 anggota, tetapi empat warga Britain diselamatkan selepas terpisah.

Komunikasi terakhir pendaki yang hilang adalah pada 26 Mei lalu, sehari sebelum salji tebal turun dan kejadian ribut salji berlaku.

Ekspedisi, diketuai pendaki berpengalaman Britain, Martin Moran, cuma mendapat kebenaran mendaki kemuncak timur Nanda Devi, yang diserahkan sebelum ini, kata pihak berkuasa India.

Namun pendaki membantah kenyataan itu. – AFP

Leave a Reply