Input your search keywords and press Enter.

Jalan Semangat Petaling Jaya Dinamakan Jalan Profesor Khoo Kay Kim

M Update, 4/7/2019 – Jalan Semangat di Petaling Jaya dinamakan semula dengan nama Jalan Profesor Khoo Kay Kim, sebagai menghargai jasa dan bakti mendiang kepada negara.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, penamaan semula nama jalan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan berkuatkuasa serta merta. Ia sebagai mengenang jasa dan ketokohan Profesor Khoo Kay Kim yang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 28 Mei lalu.

“Pemergian mendiang meninggalkan legasinya sebagai seorang nasionalis dan patriot khususnya pembabitan beliau dalam merangka Rukun Negara, sebagai suatu usaha mengembalikan keharmonian negara selepas peristiwa 13 Mei 1969,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Amirudin berkata, sebagai seorang sarjana sejarah, sumbangan besar Kay Kim adalah dalam pembentukan historiografi Malaysia pada abad ke-19. Karya utama mendiang seperti The Western Malay States 1850-1873: The Effects of Commercial Development on Malay Politics menjadi kanun dalam penulisan sejarah Malaysia. Mendiang juga seorang intelektual awam yang aktif memberikan pandangan mengenai politik serta isu berkaitan pembinaan negara bangsa dan juga bidang yang sangat diminatinya iaitu sukan bola sepak,” katanya. – BH Online

Leave a Reply