Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Tarik Balik Dua RUU Pindaan

M Update, 10/7/2019 – Kerajaan memohon untuk menarik balik dua Rang Undang-Undang (RUU) yang telah dibacakan untuk kali pertama iaitu RUU Perlembagaan dan RUU Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Penarikan semula RUU Perlembagaan dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman manakala penarikan semula RUU Majlis Keselamatan Negara dibuat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin. Penarikan semula kedua-dua RUU itu dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat pada awal mesyuarat pagi ini.

RUU Perlembagaan yang dibentangkan Syed Saddiq dibacakan untuk kali pertama pada Khamis lalu bertujuan untuk menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun. Kerajaan sebelum ini telah bersetuju memenuhi permintaan pembangkang yang mahukan pendaftaran pengundi secara automatik dilaksanakan. Malah, difahamkan kerajaan turut mempertimbang satu lagi permintaan pembangkang supaya had umur calon pilihan raya juga diturunkan kepada 18 tahun.

Sementara itu, RUU MKN yang akan menyaksikan kuasa-kuasa perdana menteri digugurkan dan hukuman lebih berat bawah peruntukan sedia ada dibentangkan oleh Mohamed Hanipa pada 9 April lalu. Antara lain, ia mengusulkan kuasa-kuasa mengisytihar zon keselamatan dipindahkan daripada Perdana Menteri kepada Yang DiPertuan Agong atas nasihat MKN. Bagaimanapun, Perdana Menteri kekal sebagai Pengerusi MKN. – Astro Awani

Leave a Reply