Input your search keywords and press Enter.

Agong Adakan Pertemuan Dengan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud

M Update, 15/7/2019 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam mengadakan pertemuan dengan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud di Royal Court.

Datuk Pengelola Bijaya DiRaja, Datuk Ahmad Fadil Shamsudin berkata semasa pertemuan, kedua-dua ketua negara itu berbincang mengenai usaha meningkatkan lagi hubungan dua hala serta kerjasama antara kedua-dua negara, terutama yang berkaitan dengan haji. Beliau berkata lawatan sulung Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong atas jemputan Raja Salman sendiri itu banyak membantu dalam mengukuhkan hubungan mesra dua negara yang telah terjalin sejak 1957.

Katanya dalam perjumpaan itu, Sultan Abdullah menyuarakan rasa puas hati dengan lawatannya ke Arab Saudi, dan lawatan itu memberikan peluang kepada kedua-dua ketua negara untuk bertemu, selepas kali terakhir Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah melawat negara berkenaan.

Tuanku menyampaikan ucap selamat daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala Raja Salman turut menyampaikan penghargaan dan menjemput Dr Mahathir untuk melawat Arab Saudi, katanya kepada media Malaysia selepas majlis perjumpaan secara tertutup itu berakhir.

Sementara itu Ahmad Fadil berkata Raja Salman menyuarakan kesediaan kerajaan Arab Saudi untuk menganjurkan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM), yang akan memberi tumpuan kepada kerjasama ekonomi, di mana kali terakhir JCM Malaysia-Arab Saudi diadakan adalah pada 2004. Sultan Abdullah yang diiringi oleh puteranya Tengku Amir Nasser Ibni Sultan Abdullah dan pegawai-pegawai kanan Malaysia, termasuk Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, tiba di Arab Saudi pada Jumaat untuk lawatan khas tiga hari.

Aturcara lawatan Seri Paduka bermula dengan ketibaannya di Madinah pada Jumaat, di mana baginda menziarahi makam Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi dan mengerjakan solat Jumaat sebelum berangkat ke Jeddah pada Sabtu, dan mengerjakan umrah pada hari yang sama. Sultan Abdullah dijadualkan berangkat pulang dari Arab Saudi pada pukul 8.00 malam waktu tempatan (1.00 pagi waktu Malaysia), hari ini. – Bernama

Leave a Reply