Input your search keywords and press Enter.

Duriotourism Buat Peminat Raja Buah

M Update, 16/7/2019 – Kampung Talang Hulu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari plaza tol Kuala Kangsar adalah destinasi persinggahan wajib kepada mereka yang ingin menikmati buah-buahan tempatan, terutamanya kepada peminat raja buah.

Di situlah terletaknya Duriotourism Kuala Kangsar yang merupakan sebuah pusat agropelancongan berasaskan durian pertama di Malaysia. Kawasan berkeluasan 50 hektar itu diusahakan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dengan 20 hektar daripadanya ditanam dengan pelbagai jenis durian hibrid yang dihasilkan penyelidik Mardi, antaranya MDUR 78, MDUR 79 dan MDUR 88.

Pakej Duriotourism Kuala Kangsar membolehkan pengunjung melawat ladang dengan menaiki trem, mendengar penerangan daripada pekerja di ladang mengenai penanaman durian, selain mengenali klon durian, mengenal pasti perbezaan buah manggis dan mesta, serta bergambar dalam persekitaran alam semula jadi di ladang.

Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati buah mesta yang merupakan varieti buah manggis yang dihibridkan pihak Mardi. Ia berbentuk tirus, mempunyai rasa lebih manis dan isinya lebih kering berbanding buah manggis yang sedikit berair.

Peminat raja buah boleh mengunjungi Duriotourism Kuala Kangsar dengan kadar bayaran RM50 untuk menikmati buah durian dalam suasana dusun bermula 9 pagi hingga 6 petang. Sejak dibuka pada Disember 2017, pusat agropelancongan itu telah menerima hampir 2,000 pengunjung. Maklumat lanjut mengenai pusat agropelancongan itu boleh didapati dengan menghubungi Mardi Kuala Kangsar di talian 05-7733030.

Leave a Reply