Input your search keywords and press Enter.

Dr Siti Hasmah Terima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat HRD Asia 2019

M Update, 17/7/2019 – Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Pembangunan Sumber Manusia (HRD) Asia 2019 atas sumbangannya dalam pembangunan bidang kesihatan awam negara.

Anugerah HRD Asia adalah pengiktirafan kepada tokoh ulung yang menyumbang kepada pembangunan manusia sama ada untuk profesion sumber manusia, organisasi, komuniti atau masyarakat pada umumnya.

Pemilihan isteri Perdana Menteri itu atas kapasiti beliau sebagai seorang tokoh yang menjadi sumber inspirasi kepada golongan wanita, termasuk sebagai salah seorang doktor wanita Melayu pertama di negara ini. Ketokohan Dr Siti Hasmah memimpin beberapa pertubuhan sosial dan kemasyarakatan, termasuk Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Persatuan Perubatan Asas Malaysia dan Persatuan Rehabilitasi Kanak-kanak Kurang Upaya turut menjadi kebanggaan.

Komitmennya terhadap bidang kesihatan awam, bahasa dan kawalan penyalahgunaan dadah di negara ini turut mendapat pelbagai pengiktirafan tempatan serta antarabangsa. Sementara itu, Dr Siti Hasmah dalam ucapannya, berkata pembabitan beliau dalam dunia perubatan didorong oleh hasrat arwah bapanya yang mahu 10 anak-anak berjaya.

“Arwah bapa saya (Mohd Ali Taib) adalah individu yang sangat bercita-cita dalam pendidikan. Jadi, dia mahu semua anak berjaya dalam pendidikan. Dia hantar saya ke sekolah perubatan di Singapura. Maka, anugerah ini menyempurnakan hasrat bapa saya untuk melihat anak-anaknya berjaya dan menyumbang kembali kepada negara,” katanya.

Anugerah itu disampaikan pada Majlis Anugerah HRD Asia 2019 yang berlangsung, di sini malam tadi. Antara tokoh yang pernah menerima anugerah itu termasuk bekas Presiden Filipina, Fidel V Ramos; bekas Presiden dan Perdana Menteri Bosnia Herzegovina, Dr Haris Silajdzic serta bekas Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Leave a Reply