Input your search keywords and press Enter.

Aplikasi Respons Rakyat Memudahkan Aduan Perkhidmatan Awam

M Update, 18/7/2019 – Aplikasi telefon pintar Respons Rakyat (RR 2.0) yang dilancarkan hari ini untuk memudahkan orang awam membuat aduan dan memberi maklum balas berhubung sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Ia dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah. Biro Pengaduan Awam (BPA) dalam kenyataan berkata menerusi aplikasi generasi kedua itu, aduan boleh disampaikan kepada 460 badan kerajaan melibatkan 25 kementerian 57 agensi kerajaan persekutuan, 13 pejabat setiausaha kerajaan negeri, 149 pihak berkuasa tempatan dan 16 syarikat utiliti.

Penghasilan RR 2.0 merupakan langkah terbaharu pihak kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam,” katanya. Menurut BPA, aplikasi telefon pintar RR 2.0 menggantikan Rakyat Responz (RR 1.0) yang dibangunkannya pada Mei 2016. Antara kelebihan aplikasi telefon pintar RR 2.0 ialah keupayaan pengguna memuat naik video dan audio berbanding RR 1.0 yang hanya membolehkan pengadu menghantar gambar dan fail dokumen sahaja, katanya.

BPA berkata ia juga mempunyai sistem pesanan RR Messenger sebagai pemakluman atau notifikasi mesej baharu yang diterima berbanding komunikasi menerusi e-mel atau telefon sebelum ini. Katanya pengadu juga boleh mengikuti perkembangan kes dalam siasatan melalui telefon pintar tanpa perlu log masuk ke Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) untuk menyemak kedudukan semasa kes.

RR 2.0 juga membolehkan kajian kepuasan pelanggan dijalankan menerusi telefon pintar berbanding penggunaan borang yang dihantar menerusi e-mel sebelum ini, kata BPA. – Bernama

Leave a Reply