Input your search keywords and press Enter.

Dewan Negara Lulus Pindaan Akta Turunkan Had Umur Belia Kepada 30 Tahun

M Update, 25/7/2019 – Rang Undang-Undang (RUU) Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 bertujuan antara lain menurunkan had umur dalam takrif belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun, diluluskan Dewan Negara hari ini.

Ia diluluskan pada sesi yang dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Abd Halim Abd Samad selepas 14 senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong, ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua, berkata RUU berkenaan bertujuan memastikan pembangunan belia selaras dengan Dasar Belia Malaysia serta seiring dengan dasar sedia ada kerajaan dalam memperkukuh peranan dan tanggungjawab belia di negara ini.

Menjelang tahun 2030 pula dianggarkan golongan belia adalah kumpulan majoriti yang akan menjadi pemegang taruh dalam mencorak dan menentukan kepimpinan Malaysia pada masa hadapan,” katanya. Pindaan RUU yang diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Julai itu juga memperuntukkan had umur minimum dan maksimum seseorang pemegang jawatan suatu pertubuhan belia berdaftar, dengan tidak kurang daripada 18 tahun serta tidak lebih 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

Ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata pelan transisi had umur belia itu hanya akan bermula secara rasmi pada akhir Disember 2021. Maksudnya kita ada tempoh masa lagi dua tahun. Pada masa yang sama jika pemilihan sesuatu pertubuhan dibuat contohnya pada November 2021, mereka (yang berumur lebih 30 tahun pada masa itu) tetap boleh memainkan peranan dalam pertubuhan belia berkenaan sehingga ke pemilihan berikutnya.

Sebagai contoh jika seseorang itu berumur 34 tahun pada November 2021 dan bertanding dalam pemilihan serta menang, individu itu tidak akan terus terlucut jawatannya, tetapi tetap boleh terus berkhidmat sehingga ke pemilihan yang akan datang,” katanya. – Bernama

Leave a Reply