Input your search keywords and press Enter.

Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah ‘Diserang’ Militan

M Update, 25/7/2019 – Suasana di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di sini hari ini gempar dengan ancaman sekumpulan militan yang bertindak ‘menculik’ lima orang kenamaan sebelum ia berjaya ditawan semula menerusi pelbagai teknik dan strategi serangan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Itulah senario yang cuba digambarkan dalam Latihan Ancaman Keganasan yang diadakan di lokasi itu. Suasana semakin cemas apabila kumpulan militan terbabit mengugut untuk merogol dan menyembelih tebusan sekiranya gagal mendapatkan wang tebusan RM5 juta.

Malah, bukan itu sahaja, pengganas terbabit juga bertindak mengikat kesemua tebusan tersebut sebagai langkah mengugut pihak keselamatan. Bagaimanapun, tindakan pantas serta kecekapan Unit Tindakan Khas (UTK) dan Tiger Platun Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah berjaya menumpaskan cubaan lima orang pengganas terbabit dalam tempoh beberapa minit. Dalam latihan ini, turut dilakukan senario latihan kebakaran pesawat Sky Golden Air dan ancaman bom dalam bagasi di kaunter Sky Golden Air.

Latihan yang dijalankan bermula jam 9 pagi turut membabitkan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia serta syarikat-syarikat penerbangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, latihan ini adalah sebahagian bagi mengenal pasti kekurangan serta menambah baik tahap kesiagaan komunikasi antara agensi terlibat. Lapangan terbang adalah antara sasaran utama ancaman pengganas. Jadi, adalah amat penting untuk setiap agensi mengetahui langkah yang perlu diambil jika menghadapi krisis seperti itu.

Untuk rekod, kita pernah terima satu ancaman bom palsu pada tahun 2017 daripada seorang penumpang wanita dan hal itu berjaya ditangani dengan baik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Tambahnya, bagi PDRM sahaja, seramai 34 pegawai dan anggota terlibat membabitkan elemen UTK, Komando 69 (VAT69), Unit Anjing Pengesan K-9 PDRM, Forensik PDRM, Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Tiger Platun PGA Briged Tengah.

Katanya, latihan yang membabitkan 350 peserta sebegini akan diteruskan daripada semasa ke semasa bagi meningkatkan tahap kesiagaan keselamatan terutamanya di kawasan lapangan terbang. – SH Online

Leave a Reply