Input your search keywords and press Enter.

Tenggelamkan Bot Nelayan Asing Lambang Ketegasan Kerajaan

Gambar Hiasan

M Update, 31/7/2019 – Tindakan kerajaan mahu mengenakan tindakan tegas ke atas nelayan asing yang menceroboh perairan negara termasuk menenggelam bot mereka perlu di sokong kerana ia berkaitan dengan isu keselamatan dan kedaulatan negara.

Pakar Geostrategik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan, berkata, Indonesia sudah mengamalkan tradisi menenggelamkan bot itu sejak sekian lama. Malahan, katanya, kaedah menenggelamkan bot berkenaan dibuat dengan begitu dramatik seperti menggunakan bom atau ditembak dengan senjata kaliber besar.

Tujuan pemerintah Indonesia melakukan sedemikian rupa dengan dua objektif, iaitu yang pertama untuk memberi isyarat kepada penceroboh bahawa hukuman penalti maksimum menanti jika ditahan menceroboh perairan Indonesia. Objektif kedua agak penting bagi menyampaikan mesej kepada rakyat Indonesia bahawa pemerintah tidak kompromi dalam hal kedaulatan.

“Didapati dengan cara ini, sikap keprihatinan atau sensitiviti rakyat Indonesia dalam hal kedaulatan dan keselamatan adalah agak tinggi berbanding rakyat Malaysia. Sebab itu hasrat kerajaan Malaysia seharusnya disokong oleh rakyat,” katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Malaysia sedang meneliti untuk mencontohi dasar kerajaan Indonesia dengan memusnahkan atau menenggelamkan kapal nelayan asing yang ditahan menceroboh perairan negara. Beliau berkata, terdapat cadangan supaya perkara itu dilaksanakan, namun perlu mendapat nasihat daripada Peguam Negara.

Awal bulan ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata tindakan menenggelamkan bot nelayan asing yang mencerobohi perairan Malaysia bagaimanapun hanya akan dipertimbangkan jika langkah menangani isu berkenaan pada masa ini, termasuk penubuhan pasukan petugas khas oleh Kabinet, tidak berkesan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari berkata, usaha mahu menenggelamkan bot memang sudah lama dikemukakan kepada kerajaan, namun persatuan berpandangan lebih baik dirampas dan bot berkenaan tidak dimusnahkan. Sebaliknya, katanya bot yang dirampas diserahkan kepada nelayan tempatan untuk dijadikan tukun tiruan bagi penternakan ikan selain boleh juga digunakan sebagai bot persiaran untuk aktiviti riadah dan sukan memancing.

Kami sememangnya suka jika tindakan tegas di ambil, namun bot nelayan berkenaan di rampas dan dijadikan sumber pendapatan kepada nelayan tempatan,” katanya. – BH Online

Leave a Reply