Input your search keywords and press Enter.

Malaysia, Filipina Meterai MOU Penjagaan Kesihatan

M Update, 1/8/2019 – Malaysia dan Filipina bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang penjagaan kesihatan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) semalam.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata, MoU itu ditandatangani oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Jabatan Kesihatan Filipina, Dr Francisco T Duque III, dalam mesyuarat dua hala di Putrajaya, untuk membincangkan usaha mengukuhkan hubungan dua hala melalui kerjasama penjagaan kesihatan.

Menerusi MoU itu, Malaysia dan Filipina bersetuju bekerjasama dalam bidang penjagaan kesihatan utama, kesihatan reproduktif, pendidikan kesihatan, sumber manusia untuk pembangunan kesihatan, pemakanan, dan pertukaran maklumat mengenai isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan.

Kedua-dua negara juga akan bekerjasama dalam pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, kawalan kawal selia farmaseutikal, ubat tradisional, ubat herba, suplemen kesihatan dan produk kosmetik, peralatan perubatan, pelancongan kesihatan; penyelidikan kesihatan, dan perkhidmatan penjagaan kesihatan. Kumpulan Kerja Teknikal Bersama diketuai oleh pegawai dilantik Kementerian Kesihatan kedua-dua negara akan melaksanakan MOU itu.

Kedua-dua Menteri Kesihatan menekankan pentingnya meningkatkan kerjasama untuk menangani masalah kesihatan rentas sempadan di tengah persekitaran global yang pesat berubah. Kerjasama kesihatan antara negara jiran adalah penting untuk pantas bertindak balas terhadap ancaman kesihatan awam dan mencegah risiko kesihatan lebih besar, termasuk wabak dan daya tahan mikrob,” kata mereka dalam kenyataan bersama semalam.

Kedua-dua Menteri Kesihatan juga melahirkan harapan hasil mesyuarat akan memperkukuh hubungan dan kerjasama dalam pengurusan isu rentas sempadan berkaitan kesihatan dan pelbagai pihak berkepentingan. – Bernama

Leave a Reply