Input your search keywords and press Enter.

26 Jemaah Haji Malaysia Terkandas di Jeddah

Gambar Hiasan

M Update, 7/8/2019 – Sekumpulan 26 rakyat Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah dekat sini sejak jam 7 petang semalam, selepas kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan kemasukan mereka untuk mengerjakan haji pada musim ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata kumpulan itu tiba menggunakan penerbangan komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan kemasukan mereka tidak dibenarkan, dipercayai akibat masalah teknikal pada visa haji furada yang diperoleh.

“Petugas haji kita sedang menjaga kebajikan mereka, jaga makan minum pastikan mereka dalam keadaan selesa dan sebagainya. Apa boleh kita buat adalah menjaga kebajikan mereka.

“Saya ingin memaklumkan kepada keluarga mereka di Malaysia bahawa pihak (Lembaga) Tabung Haji menjaga kebajikan mereka walaupun mereka pergi bukan di bawah Tabung Haji. Mereka guna penerbangan komersial, jika mereka lalu Makkah Route imigresen sudah kesan awal visa mereka ada masalah,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, perjalanan kumpulan itu dipercayai diuruskan sebuah syarikat, bagaimanapun kerajaan Malaysia menyerahkan sepenuhnya siasatan serta tindakan terhadap perkara itu kepada pihak kerajaan Arab Saudi. Katanya, kumpulan itu akan diterbangkan pulang ke Malaysia semalam selepas semua proses diperlukan kerajaan Arab Saudi diselesaikan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *