Input your search keywords and press Enter.

Piala Sultan Selangor: Peminat Dinasihat Jaga Tingkah Laku – Polis

M Update, 20/8/2019 – Polis menasihatkan peminat bola sepak yang akan menyaksikan perlawanan persahabatan Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam, Sabtu ini, supaya sentiasa menjaga tingkah laku.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata para penyokong bola sepak juga diberi amaran supaya patuh kepada setiap arahan pihak berkuasa dan tidak sesekali cuba tidak menimbulkan sebarang provokasi atau huru-hara. Ini bukan perlawanan merebut kejuaraan, ini cuma perlawanan persahabatan jadi saya minta penyokong kedua-dua pasukan yang bertanding dapat menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan sekiranya mereka didapati membakar suar, bunga api, mercun dan sebarang bahan letupan ataupun membaling apa-apa objek ke dalam padang atau di tempat duduk,” katanya dalam sidang media sempena perlawanan Piala Sultan Selangor 2019 di sini, hari ini.

Piala Sultan Selangor yang memasuki edisi ke-18 itu bakal menyaksikan pertembungan antara pasukan pilihan Selangor dengan pasukan pilihan Singapura. Mengulas lanjut, Baharudin berkata, 1,255 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk menjamin tahap keselamatan yang tinggi sebelum dan selepas perlawanan itu. Beliau turut menjangkakan 50,000 penyokong dari kedua-dua pasukan akan hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan berkenaan.

“Kita juga ada bantuan dari Pasukan Gerakan Udara (PGU), unit dron dan helikopter untuk membuat kawalan dari udara, unit berkuda, unit anjing pengesan (K9) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi memastikan perlawanan itu dapat berjalan dengan lancar,”

Baharudin juga mengingatkan para penyokong supaya hadir ke stadium lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan menuju ke stadium. – Bernama

Leave a Reply