Input your search keywords and press Enter.

Bekas Tentera Imbau Kejadian Gadai Nyawa Tentang Komunis

M Update, 21/8/2019 – Di sebalik nikmat kemerdekaan dan keamanan yang dinikmati rakyat Malaysia hari ini, tidak ramai generasi muda masa kini menghayati dan mengambil tahu hasil pengorbanan tokoh-tokoh perjuangan demi mempertahankan kedaulatan tanah air ini.

Memikul mayat komunis yang terburai isi perut sejauh 100 meter (m) selain tidur bersama mayat selama satu malam, adalah antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Sarjan Bersara Ab Rahman Yaacob. Mengimbau kembali peristiwa itu, Ab Rahman berkata, ia berlaku pada 1975 ketika beliau bersama-sama beberapa anggota yang lain terbabit dalam operasi Gonzales di Slim River, Perak untuk menentang kumpulan komunis.

Semasa pertempuran itu, pasukannya dapat menembak mati lima daripada sembilan komunis yang menyerang dan kesemua mayat komunis yang ditembak itu dikumpulkan di satu tempat bagi mengelak ancaman binatang buas sebelum menanti helikopter datang pada keesokan hari.

“Saya memikul mayat komunis yang ditembak mati dan terburai isi perutnya bermula dari atas bukit untuk dibawa ke lokasi pendaratan helikopter kira-kira 100 meter. Ketika memikul mayat itu, saya sedikit berasa agak gentar selain uniform juga dipenuhi darah serta bau darahnya yang hanyir sehingga menusuk hidung,” katanya ketika ditemui di Ketereh.

Pengalaman bertempur dengan komunis, malah dibedil bertalu-talu termasuk melihat rakan seperjuangan gugur di tangan komunis dalam operasi di Sadao, Thailand pada 1976 antara yang tidak dapat dilupakan oleh beliau. Segala yang berlaku masih segar dalam ingatan Ab Rahman yang menamatkan perkhidmatan berpangkat sarjan dalam Rejimen Renjer Diraja (RRD) kini menetap di Kampung Paloh Rambai, Ketereh.

Bercerita lanjut mengenai operasi yang dinamakan Op Toya Musnah itu, bapa kepada empat anak itu berkata dalam kejadian itu, platunnya seramai 20 orang dikerahkan masuk ke kawasan bukit Sadao bagi menjejaki kumpulan komunis. Dalam operasi itu kami menerima maklumat dan arahan untuk mengepung dan menyerang kawasan berkenaan, yang dianggarkan terdapat kira-kira 200 pengganas komunis di sana,” katanya ketika ditemui di Ketereh di sini, baru-baru ini.

Ab Rahman berkata, pada hari pertama operasi ketika membuat rondaan di sekitar kawasan bukit berkenaan, rakan sekerjanya telah maut akibat terpijak jerangkap samar sehingga menyebabkan bahagian geraham mangsa pecah. Keesokan harinya pula, platun kami diarahkan untuk membuat rondaan dalam kawasan kem berkenaan, tiba di sana kami menahan lima pengganas komunis perempuan yang lengkap beruniform, tetapi mereka tidak dibunuh kerana khuatir sedang mengandung.

Mereka yang ditahan dibawa ke satu tempat dan berkemungkinan pengganas komunis yang lain sudah dapat menghidu kedatangan kami dan telah melarikan diri ke kawasan lain,” katanya.

Pada hari ketiga operasi beliau serta ahli kumpulannya yang lain diarahkan pula untuk menyambung membuat rondaan di kawasan sekeliling kem komunis berkenaan. Semasa membuat rondaan, kami menjumpai satu kebun yang terdapat pokok betik, pokok pisang dan tebu yang sudah masak, namun ianya tidak dipetik (mungkin ianya hanya satu taktik pengganas komunis).

“Ketika itu kami dah penat buat rondaan, rasa lapar…jadi nak petik buah betik berkenaan untuk makan, masa nak suap betik itu kami diserang hendap dan dibedil bertalu-talu oleh komunis,” kata Ab Rahman.Katanya, selepas 15 minit kejadian berkenaan beliau dan rakan yang lain diselamatkan oleh sebuah helikopter untuk dibawa ke Hospital Alor Setar.

Walaupun seorang anggota platun terkorban dalam operasi itu, dan beberapa yang lain tercedera termasuk beliau, namun ianya menjadi kebanggaan apabila kawasan berkenaan akhirnya berjaya ditawan.

Ab Rahman yang telah berkhidmat selama 20 tahun itu berkata, akibat serangan berkenaan beliau mengalami kecederaan parah pada bahagian betis kaki kanan akibat terkena tembakan sehingga terpaksa tinggal di hospital hampir dua bulan lebih untuk menerima rawatan. Kesan daripada tembakan itu juga memberi impak kepada saya sehingga ke hari ini yang menyebabkan saya merasa kebas apabila bersila walaupun hanya lima minit dan ianya sedikit sebanyak menjejaskan deria rasa di bahagian kaki kanan saya.

Walaupun kecederaan itu meninggalkan parut sehingga ke hari ini, namun ianya tidak pernah sesekali melunturkan semangat pahlawan saya malah berasa bangga kerana dapat memberi khidmat kepada tanah air yang dicintai demi keharmonian dan keamanan negara ini,” katanya.

Pada November 1978, beliau ditukarkan untuk bertugas sebagai kerani di Batalion Infantri 105 Askar Wataniah (AW) untuk mengendalikan pendatang tanpa izin Vietnam, sebelum menggalas tugas terakhir sebagai Ketua Kerani di Batalion Infantri 105 (AW) dan bersara pada 1993.

Bertempur dengan komunis masih segar dalam ingatan saya dan ia adalah pengalaman mengerikan dan bersyukur kerana kini tiada lagi ancaman komunis,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply