Input your search keywords and press Enter.

‘SUPERPATRIOTISME’, JAWAPAN KEPADA USAHA PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA

Sejak kebelakangan ini, negara kita berhadapan dengan pelbagai isu yang boleh menghancurkan perpaduan rakyat jika tidak dibendung. Pihak keselamatan khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah memberikan amaran keras untuk menangkap sesiapa sahaja yang mencetuskan isu perkauman,bangsa dan agama.

Sebenarnya, kita juga perlu melihat semula ke belakang untuk memahami perjalanan sejarah negara. Kebanyakan sentimen perkauman dan agama di kalangan rakyat Malaysia berlaku kerana mereka tidak menghayati perjalanan sejarah negara ini dengan betul. Antara buku cinta negara atau disebut di Eropah dengan istilah ‘superpatriotisme’ yang bagus dibaca oleh generasi Malaysia ialah Looking Back (1976) oleh Tunku Abdul Raman Putra Al-Haj, A Doctor in The House (2011), The Malay Dilemma (1970) dan Menghadapi Cabaran (1968) oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menangani Perubahan koleksi ucapan DS Anwar Ibrahim (1984) dan boleh juga melihat pandangan Lim Kit Siang dalam bukunya Malaysia-Crisis of Identity (1986). Pandangan-pandangan mereka boleh memberikan banyak pengalaman sejarah dalam usaha

mendirikan sebuah negara yang berdaulat, selamat dan kekal merdeka.

Kewujudan Kerajaan Melayu Melaka pada tahun 1400 mencatatkan juga keberadaan masyarakat global seperti pedagang Arab, India, China dan Nusantara Melayu. Oleh kerana pada ketika itu, para pedagang berkampung di pelabuhan Melaka sambil menunggu pusingan angin monsun yang agak lama, ada di antara mereka berkahwin dengan masyarakat tempatan, maka wujudlah masyarakat Baba dan Nyonya serta masyarakat India-Muslim atau popular dengan panggilan mamak. Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri (KITA,UKM) dalam kertasnya bertajuk ‘Mamakization; Food and Social Cohesion in Multietnic in Malaysia’ berkata kedai-kedai mamak boleh merapatkan perpaduan dengan kehadiran pelbagai kaum untuk menikmati roti canai dan sebagainya.

Ini bermakna kepelbagaian kaum di negara kita boleh disatukan dengan mudah. Kita berkongsi banyak perkara seperti makanan Nasi Goreng Cina, Nasi Goreng Mamak, Nasi Goreng Kampung, Mee Tauhu, Mee Kari, Kek Lapis Sarawak, Nasi Lemak, Kuih Bulan, Char Koay Teow, Dim Sum, Lemang, Ketupat, Nasi Daun Pisang, Maruku, Briyani, Roti Nan, Putu Mayam, Lai Chee Kiang, Buras, Ayam Likku Sabah dan macam-macam lagi jenis kuih yang memberi gambaran rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Di negara kita juga muncul banyak jenis rumah ibadah seperti Masjid, surau, musollah, manakala penganut agama Hindu memiliki kuil dan masyarakat Cina yang beragama Buddha mendirikan tokong. Manakala masyarakat Kristian mempunyai gereja. Inilah jua warna-warna kehidupan beragama di Malaysia. Ianya terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 11 walaupun agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan di bawah Perkara 3.

Hari ini kita berhadapan pelbagai cabaran global. Dengan dunia terbuka, maklumat di hujung jari, ianya sudah sukar dikawal. Teknologi moden telah menjadi sebahagian perkara penting dalam kehidupan masyarakat seharian. Persoalannya, apakah tanggungjawab kita dalam hidup bernegara? Apakah peranan kita menjadi manusia yang bertamadun dan berakhlak mulia?

Baru-baru ini, timbul isu penceramah Dr. Zakir Naik yang telah menyinggung rakyat Malaysia terutamanya penganut agama Hindu malah turut menyentuh sensitiviti masyarakat Cina. Negara kita Malaysia ini bukanlah besar mana jika dibanding dengan negara-negara kuasa besar yang lain. Populasi kita baharu 32.5 juta penduduk (2019), masyarakat kita dipisahkan oleh agama, Bahasa, pendidikan serta fahaman politik yang berbeza. Kita belum ada satu polisi negarabangsa untuk mewujudkan Bangsa Malaysia dan Bahasa Malaysia yang boleh mengikat semua kaum menggunakannya sebagai ikatan perpaduan yang kuat. Negara jiran terdekat Indonesia, mereka bersatu atas nama Bangsa Indonesia dan Bahasa Indonesia. Adakah kita perlu mencontohi cara Indonesia membina negara bangsanya? Saya fikir perjalanan dan pembentukan negara bangsa Malaysia berbeza kerana itu kita mempunyai cara yang berbeza dalam menyatupadukan rakyat Malaysia.

PDRM telah melarang pendakwah terkenal Dr Zakir Naik daripada menyampaikan ceramah awam di seluruh negara. Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad menyatakan ia dilakukan demi keselamatan negara. Arahan itu telah dikeluarkan kepada kesemua kontinjen polis di seluruh negara dan dilakukan demi keselamatan negara dan memelihara keharmonian kaum. Pada Ahad lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penceramah itu telah melampaui batas apabila menyentuh mengenai kaum Cina dan India di dalam dua ceramahnya.

Begitu juga dalam isu penghinaan ke atas anggota tentera Malaysia dengan perkataan ‘makan dan tidur’. Sudah pasti sebagai benteng di hadapan dalam mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara mereka akan tersinggung dengan kata-kata itu. Sepatutnya dalam usia 62 tahun negara kita, malah sudah beratus tahun generasi demi generasi kita hidup bersama, kata-kata seperti itu tidak dikeluarkan. Walaupun beliau telah memohon maaf, ianya telah memberi kesan mendalam kepada pasukan tentera. Ianya tidak patut berulang lagi pada masa hadapan.

Kini tular pula kontroversi jalur putih pada Jalur Gemilang ditukar warna kepada hitam sebagai tanda protes terhadap pelaksanaan pengajaran Jawi di sekolah jenis kebangsaan. Seorang ahli perniagaan dikritik hebat oleh warganet yang menyifatkan beliau sebagai biadab kerana menukar warna putih pada Jalur Gemilang kepada warna hitam. Beliau berbuat demikian kononnya untuk menunjukkan penentangan dalam perlaksanaan pengajaran Jawi di sekolah jenis kebangsaan. Warna hitam tersebut kononnya daripada pelaksanaan penukaran dasar kasut berwarna putih kepada kasut berwarna hitam yang dipakai pelajar. Kejadian Jalur Gemilang dipasang terbalik juga berlaku di beberapa tempat. Sepatutnya setiap individu dan pemilik premis perlu peka kepada sensitiviti dan nilai yang ada pada Jalur Gemilang. Ianya adalah lambang kepada kedaulatan, kemerdekaan, dan perpaduan negara Malaysia. Ianya bukan barang mainan.

“Saya telah membetulkan semula grafik bendera Malaysia kepada keadaan asal dan memastikannya tidak ditukar lagi. Saya ingin menasihatkan kepada generasi akan datang, berdasarkan pengalaman ini agar jangan sama sekali menukar warna, grafik atau fizikal bendera. Terima kasih semua untuk masuk ke Facebook saya dan membaca artikel saya dengan minda terbuka. Saya menghormati pandangan anda dan saya akan terus mencari diri dan menilai diri saya,” tulis Kim Yew.

Kepada rakyat Malaysia, perniagaan akan terbantut jika negara dilabel tidak aman dan tidak harmonis. Pelabur boleh sahaja menggunakan alasan itu malah manambah lagi alasan-alasan lain seperti isu tenaga buruh, nilai ringgit dan sebagainya. Tetapi jika kita menunjukkan kesepakatan dan keharmonian, ianya akan menarik pelabur asing kerana mereka mahu melabur di tempat yang aman damai.

Bagaimana boleh menghadirkan perasaan hormat-menghormati sesama kita? Paling mudah kita boleh mengamalkan prinsip Ruku Negara dan Perlembagaan Persekutuan dengan sebaiknya. Kepercayaan Kepada Tuhan memberi mesej yang sangat jelas, semua penganut mempunyai anutan masing-masing dan kita perlu hormat-menghormati dalam kepelbagaian agama ini. Di negara kita Raja-Raja menaungi semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum di mana itulah makna mudah kepada Kesetiaan Raja dan Negara. Keluhuran Perlembagaan bermaksud rakyat jelata terpelihara hak mereka dalam negara yang berdaulat ini. Tidak ada seorang pun rakyat Malaysa dinafikan hak mereka daripada menikmati keselamatan dan kesejahteraan negara. Kedaulatan Undang-undang pula ialah rakyat perlu mendidik diri supaya akur kepada undang-undang negara supaya boleh melahirkan suasana kehidupan yang aman dan harmoni secara berterusan. Kesopanan dan Kesusilaan bererti masyarakat majmuk perlu berlaku sopan dan bertatasusila dengan semua kelompok masyarakat sama ada tua muda, miskin kaya, dan sebagainya. Sangat mudah bukan ? Kenapa mencari perpecahan ?

Bolehkah negara Malaysia hancur? Jika negara-negara yang dahulu kaya-raya, aman dan harmoni seperti seperti Iraq, Syria dan Libya boleh hancur sekelip mata kerana rakyat mereka bermusuhan sesama mereka, maka kekayaan negara mereka tidak dapat dinikmati oleh generasi seterusnya. Ramai yang mati dalam perang saudara manakala sekolah, perniagaan dan sebagainya hancur. Walaupun perang saudara tamat, tetapi untuk membina semula kekayaan, keharmonian dan keamanan tidak semudah ketika menghancurkannya. Kini ramai rakyat mereka berhijrah ke luar negara menjadi pelarian perang dan hidup menderita.

KESIMPULAN, marilah kita kembali kepada tradisi dan sejarah negara. Yang tua disantuni, yang muda dihormati, yang baik diteruskan, yang lemah diperbaiki. Sistem Beraja dihormati, kedaulatan undang-undang dipertahankan, masyarakat disayangi dan negara disanjungi. Jalur Gemilang dijaga rapi, anggota tentera dikasihi, agamawan dan rakyat berhemah. Susahkah nak amalkan? Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih.

Leave a Reply